Seorang penunggang motosikal maut setelah terlibat dalam satu kemalangan di Kilometer 58, Jalan Jementah - Muar kira-kira pukul 2.30 petang semalam.

BUKIT MERTAJAM – Kegiatan seorang lelaki yang mengedar, memproses serta membungkus dadah dalam bungkusan minuman segera atau 3 dalam 1 terbongkar, selepas rumahnya diserbu di Taman Impian Jaya, di sini kira-kira pukul 3 pagi Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, serbuan itu dijalankan selepas risikan dan intipan yang dijalankan sejak dua minggu lepas apabila remaja berusia 19 tahun itu dikesan turut menjual bahan terlarang itu, di pusat hiburan sekitar negeri ini.

“Semasa serbuan itu, lelaki berkenaan berada di hadapan pintu rumah dan pemeriksaan ke atasnya tidak menemui sebarang dadah, namun pemeriksaan lanjut dalam bilik suspek menemui 49 bungkusan minuman 3 dalam 1 pelbagai perisa serta jenama,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

‘Katanya, pemeriksaan dalam semua bungkusan minuman segera itu, polis menemui 1,614.27 gram dadah jenis MDMA dan pihaknya turut merampas 70 biji pil ekstasi, ketamin seberat 54.80 gram dan 10 biji pil eramin 5, yang kesemuanya bernilai RM17,850.

Menurutnya, lelaki yang tidak bekerja itu memperolehi bekalan dadah dalam kuantiti besar daripada satu sindiket, sebelum memproses dan membungkusnya sendiri di bilik rumah berkenaan.

Nik Ros Azhan berkata, lelaki itu menjual semula dadah termasuk dalam bungkusan minuman segera dan 3 dalam 1 itu, di pusat hiburan dengan harga bermula RM100 sehingga RM300.

“Suspek yang dipercayai menjalankan kegiatan itu sejak awal tahun ini, mempunyai pelanggan tetap di pusat hiburan dan pasaran dadahnya di beberapa premis hiburan sekitar negeri ini,” katanya.

Katanya, polis turut merampas wang tunai sebanyak RM4,624 dipercayai hasil kegiatan menjual dadah dan menyita sebuah kereta Perodua Myvi, milik lelaki itu.

Beliau berkata lelaki itu kini direman tujuh hari, bagi membantu siasatan dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, kerana mengedar dadah. – Bernama