KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan tidak menjangka apa-apa kelebihan pada Bajet 2020 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat esok.
Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, jangkaan itu berdasarkan kegagalan Bajet 2019 yang tiada langsung boom factor kepada orang Melayu dan bumiputera sebagai kaum majoriti di negara ini.
“Ini kerana Menteri Kewangan tahu 95 peratus orang Melayu telah menolak Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu kerana sedar dengan penipuan, kelicikan dan kerosakan yang dibuat oleh DAP.
“Rakyat kelas bawahan di kampung juga tidak akan merasai pelbagai insentif menarik untuk yang dapat membantu mereka yang bekerja sebagai pekebun, peneroka, petani dan nelayan.
“Menterinya (Lim Guan Eng) mesti akan menyempurnakan agenda DAP untuk menekan orang Melayu dengan meminimumkan peruntukan untuk pembangunan di tiga negeri dikuasai pembangkang seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Noor Hariri, sayap parti itu juga menjangkakan insentif ‘gula dan geli’ akan diberi kepada anak muda berumur 18 ke 25 tahun bagi menarik sokongan kepada PH akibat kegagalan menunaikan janji penghapusan hutang PTPTN.
Insentif seperti itu, kata beliau, tidak lebih memberi habuan untuk memancing undi, bukan kerana hendak meningkatkan kualiti modal insan kepada anak muda.
Beliau memberi amaran kepada kepada Guan Eng jangan menjadikan Bajet 2020 ini bersifat belanjawan rejim politik hanya kerana hendak memberi tekanan dan menghukum orang Melayu yang telah menolak DAP.
“Kami juga mendesak Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengadakan pre-council Budget 2020 terlebih dahulu dengan Guan Eng bagi mengelakkan ketiadaan insentif kepada golongan terpenting ini.
“Inilah masanya Mahathir hendak membuktikan kuasanya tidak tunduk kepada DAP dalam memperjuangkan maruah dan kepentingan Melayu,” katanya. – MalaysiaGazette
















