Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali ketika hadir Pembentangan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 11 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR- Belanjawan 2020 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini adalah sebuah belanjawan komprehensif selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB) bagi menstruktur semula ekonomi negara dan memacu pembangunan secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif.

Bagi tujuan itu, siling Peruntukan Pembangunan (Development Expenditure) bagi tahun 2020 telah dinaikkan kepada RM56 bilion, iaitu 18.9 peratus daripada keseluruhan Belanjawan 2020 berbanding dengan 17.3 peratus pada tahun 2019.

Menurut Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali, peningkatan ini akan memberi manfaat secara langsung kepada semua rakyat Malaysia khususnya masyarakat B40, penduduk luar bandar serta anak muda.

Manakala inisiatif bernilai lebih daripada RM1.6 bilion telah diperuntukkan untuk masyarakat peneroka dan pekebun kecil Felda, Felcra dan Risda pula boleh dimanfaatkan untuk melaksanakan program menjana pendapatan yang memanfaatkan lebih 500,000 peneroka dan pekebun kecil.

Kerajaan juga telah memperuntukkan RM1 bilion untuk kepenggunaan digital serta merangsang ekonomi digital.

“Saya ingin menegaskan bahawa Belanjawan 2020 adalah sebahagian integral daripada falsafah WKB 2030 yang berpaksikan model pertumbuhan inklusif demi kemakmuran seluruh rakyat.

“Saya yakin melalui dukungan rakyat dan semua pemegang taruh, kita akan berjaya merealisasikan visi WKB 2030,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Rangsangan digital dan operasi perniagaan secara digital bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan mengasah bakat dan kemahiran dalam penggunaan teknologi baharu bagi mendepani cabaran Revolusi Perindustrian 4.0 adalah amat bertepatan pada masanya, katanya.

Ikhtiar itu juga akan membuka ruang kepada Kerajaan bagi menyediakan persekitaran domestik yang kondusif sekaligus memperbesar kek ekonomi negara.

Tambah Azmin, kerajaan menggalakkan syarikat-syarikat tempatan untuk meningkatkan kemampuan syarikat dalam bidang industri dan keusahawanan serta mengeksport produk yang mampu bersaing di pasaran global dan telah memperuntukkan RM1.5 bilion khas untuk membantu PKS melalui subsidi faedah, bantuan eksport dan pembangunan keusahawanan.

Belanjawan 2020 turut memberi tumpuan kepada usaha pemberdayaan anak muda dalam mendepani cabaran baru dalam era teknologi serba canggih.

Fokus terhadap program TVET dengan peruntukan sejumlah RM5.9 bilion akan meningkatkan kebolehpasaran graduan baru dalam dunia pekerjaan yang semakin kompetitif, tambahnya. – MalaysiaGazette