Dr Mujahid Yusof

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) sentiasa meletakkan kepentingan Islam sebagai agama Persekutuan dengan peruntukan untuk pentadbirannya semakin meningkat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof.

Beliau berkata, pada Belanjawan 2019, peruntukan untuk pentadbiran Islam meningkat daripada RM1.1 bilion kepada RM1.2 bilion, manakala tahun depan pula, terdapat peningkatan lagi sebanyak RM1.3 bilion.

Katanya, peningkatan sebanyak RM0.1 bilion adalah sangat konsisten dan menunjukkan kerajaan PH sentiasa mahukan kelestarian pentadbiran Islam dalam perbelanjaan negara.

“Kebajikan guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) juga mendapat perhatian dalam bajet kali ini apabila mendapat peruntukan sebanyak RM50 juta.

“Dengan peruntukan guru KAFA ini, elaun mereka akan dinaikkan sebanyak RM100. Semoga dengan peningkatan elaun ini akan memberi manfaat kepada hampir 33,200 guru KAFA di seluruh negara,” katanya mengulas Balenjawan 2020 yang dibentangkan Menteri Kewangan,Lim Guan Eng di Parlimen, petang ini.

Selain itu, menurut Dr. Mujahid, imam, bilal, tok siak dan guru takmir juga tidak dilupakan dan akan diberi penghargaan dengan pemberian one-off sebanyak RM500 sebagai menghargai jasa mereka.

Kata beliau, kementeriannya menerima peruntukan kira-kira RM10 juta bagi tujuan promosi dan penerangan dasar Rahmatan Lil Alamin dan Maqasid Syariah yang kini sedang giat diusahakan oleh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwai Islam).

“Ia mendapat perhatian dalam belanjawan kali ini agar dasar ini dapat dipromosi dengan lebih intensif lagi. Peruntukan ini juga akan dimanfaatkan bagi menangani gejala takfir, doktrin agama dan perkauman sempit yang membimbangkan.

“Ini membuktikan jaminan dan kesungguhan kerajaan membentuk naratif Islam yang penuh Rahmah.

“Saya juga bersyukur apabila RM50 juta turut diperuntukkan kepada sekolah tahfiz dan sekolah agama rakyat dan persendirian. Selain program pemakmuran masjid bagi melahirkan konsep masjid Rahmah turut diberi perhatian dan diperuntukkan kepada JAKIM,” katanya.

Ini juga, kata beliau, akan membantu menjayakan kerangka strategik pentadbiran Islam dalam salah satu kluster iaitu kluster masjid. – MalaysiaGazette