Mohd Khairul Azam Abdul Aziz
Mohd Khairul Azam Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mengemukakan dua sebab mengapa Parlimen ke-14 ini tidak boleh memansuhkan Akta Hasutan 1948.

Sebab pertama, kata Naib Presidennya, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, Perkara 159 (3) Perlembagaan Persekutuan menyatakan, sebarang akta yang diluluskan di bawah Perkara 10 (4) iaitu Akta Hasutan tidak boleh dipinda tanpa undi dua per tiga ahli dewan.

Sebab kedua, kata beliau, Perkara 159(5) Perlembagaan pula menyatakan pindaan terhadap Akta Hasutan hendaklah mendapat perkenan Majlis Raja-Raja.

“Akta Hasutan 1948 adalah satu Akta Parlimen yang istimewa kerana ia merupakan satu-satunya akta yang disebut dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Akta ini digubal berdasarkan Perkara 10(4) Perlembagaan Persekutuan berkaitan kuasa Parlimen untuk membuat undang-undang bagi menyekat kebebasan bersuara atas alasan menjaga ketenteraman awam dan melarang apa-apa tindakan mempersoalkan apa-apa perkara hak, taraf dan kedudukan agama, bangsa, bahasa Melayu dan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

“Sebagaimana kita tahu, kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekarang tidak memiliki undi dua per tiga,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Mohd Khairul Azam yang merupakan seorang peguam berkata, dua halangan itulah yang perlu ditempuh kerajaan PH jika mereka mahu menghapuskan Akta Hasutan.

Jelas beliau, kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa Akta Hasutan 1948 akan terus wujud sehingga dimansuhkan adalah tepat.

Katanya, keputusan kabinet untuk menghentikan penguatkuasaannya pula disifatkan sebagai tidak berperlembagaan kerana entiti itu tidak mempunyai kuasa untuk menghentikan sesuatu Akta Parlimen yang belum dimansuhkan. – MalaysiaGazette