Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias.

KUALA LUMPUR – Pemilikan kepentingan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah memberi sumbangan besar kepada KWSP.

Sumbangan itu, baik melalui pulangan kewangan mahupun faedah sosial dalam bentuk lebuh raya yang selamat, mudah dan selesa untuk ahli dan rakyat Malaysia secara umum.

Sehubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Tunku Alizakri Alias berkata, pihaknya mengambil perhatian mengenai keputusan yang dibuat oleh kerajaan berhubung PLUS dalam Belanjawan 2020,

KWSP juga akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan dan Khazanah Nasional Berhad secepat mungkin untuk memastikan sebarang resolusi akhir melindungi kepentingan ahli-ahli KWSP.

“Kami berharap perkara ini akan menuju kepada konklusi yang memuaskan serta mengambil kira kebimbangan kami dan mengiktiraf nilai sebenar aset ini. Kami memberi jaminan kepada ahli bahawa KWSP tidak akan menjual PLUS kurang dari nilai pasaran yang berpatutan,” katanya dalam satu kenyataan yang mengulas pengumuman kerajaan mengenai PLUS dan keputusan untuk mengurangkan caj purata tol sebanyak 18 peratus di semua lebuh raya itu.

Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pengguna di semua lebuh raya milik PLUS Malaysia Bhd. (PLUS) akan menikmati diskaun sebanyak 18 peratus secara purata.

Katanya, diskaun itu memberi penjimatan sehingga RM1.13 bilion pada tahun 2020 dan RM43 bilion sepanjang baki tempoh konsesi sehingga 2038 kepada semua pengguna lebuh raya.

Kabinet juga sedang menimbangkan kesemua cadangan termasuk daripada Khazanah Nasional Bhd. untuk mengambil alih atau melupuskan semua saham PLUS. – MalaysiaGazette

Kabinet lulus ambil alih 4 lebuhraya, tol PLUS turun 18 peratus