Nasrul Ali Hasan Abdul Latif
Nasrul Ali Hasan Abdul Latif

KUALA LUMPUR – “Bila terkena pada batang hidung sendiri, semua akta hendak dipinda dan dimansuhkan. Ini tidak adil kepada rakyat Malaysia,”.

Itu tegas Ketua penaja Wira Putra Malaysia, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif.

Beliau menegaskan, selepas Akta ISA dihapuskan dan Akta Hasutan 1948 dalam peringkat mahu dimansuhkan, kini kerajaan Pakatan Harapan (PH) hendak meminda atau menghapuskan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) pula.

Kata beliau, semua itu berpunca daripada penahanan beberapa pemimpin DAP dari PH yang dikatakan terlibat dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

“Keputusan dan tindakan ini menunjukkan kerajaan langsung tidak mengambil berat soal keselamatan negara, sebaliknya bertindak sedemikian kerana mahu melindungi pemimpin mereka.

“Wira Putra berharap kerajaan bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak menghapuskan saki baki akta keselamatan negara (Sosma) yang masih tersisa.

“Jika semua dihapuskan, ia akan membawa kesan kepada pihak berkuasa dalam melaksanakan tanggungjawab menangani jenayah dan ancaman keselamatan lain,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Semalam, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataannya melaporkan, tindakan polis menggunakan Sosma untuk menyiasat kes kumpulan LTTE, yang turut membabitkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP, sebagai terlalu keras.

Beliau menganggap akta itu sebagai drakonian dan berkata, ia perlu dipinda kerana kuasa yang diberikan kepada polis secara berlebihan.

PKR, kata beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, membantah peruntukan yang ada dalam SOSMA sebelum ini.

Mengulas lanjut, Nasrul Ali Hasan memberi pandangan, akta itu sepatutnya diperkasakan lagi, bukan dihapuskan.

“Jika (SOSMA) hendak dipinda seperti yang dinyatakan oleh Anwar, ia hendaklah digubal untuk kepentingan majoriti, bukan untuk melindungi minoriti atau pelaku.

“Negara memerlukan undang-undang yang berkesan bagi memerangi dan membanteras segala bentuk jenayah serta keganasan tanpa mengira siapa juga terlibat,” katanya.

Berhubung penafian M. Kulasegaran mengenai gambarnya bersama rakan politik di hadapan potret pemimpin LTTE, beliau menggesa pihak berkuasa turut menyiasat Menteri Sumber Manusia itu.

Kata beliau, gambar itu bukan seperti rakaman kes semburit yang tidak jelas dan kabur, ia secara terang-terangan menunjukkan menteri itu berada.

Penafian itu, ujarnya, alasan yang sangat lemah dan Wira Putra menggesa polis turut melakukan siasatan mengikut akta Sosma ke atas pemimpin berkenaan kerana tiada keperluan bagi beliau bergambar, melainkan dengan niat menyokong. – MalaysiaGazette