Menteri Kewangan, Lim Guan Eng membawa beg yang berisi buku teks ucapan Pembentangan Belanjawan 2020, Jumaat lalu.

KUALA LUMPUR- Malaysia tidak akan menaikkan cukai sesuka hati meskipun perang perdagangan di antara dua rakan dagang terbesarnya telah membantutkan impian negara untuk mencapai belanjawan berimbang.

Menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, kerajaan akan berbelanja mengikut kemampuan sahaja dan tidak akan menambah cukai hanya untuk membiayai sesetengah projek infrastruktur.

Katanya, bagi meraih dana, Malaysia akan menjual bon-bon Samurai awal tahun depan.

Ia juga akan meneruskan misi untuk mendapatkan semula aset-aset yang hilang akibat skandal 1Malaysia Development Bhd.

Jelasnya, Malaysia akan menjual bon-bon dalam denominasi yen pada suku pertama tahun depan dengan saiz yang akan ditentukan selepas berbincang dengan Jepun.

Kata Guan Eng, kerajaan akan meraih 200 bilion yen (AS$1.85 bilion) tahun ini pada kupon 0.53 peratus lebih rendah berbanding 0.65 peratus yang ditunjukkan beliau sebelum penjualan.

Jelasnya, beliau terbuka kepada sebarang jenis bon.

“Masalah yang sering timbul adalah harga terbitan.

“Kami sedia mempertimbangkan semua terbitan asalkan harganya sesuai,” katanya ketika ditemubual oleh Bloomberg TV sempena pembentangan Belanjawan 2020, Jumaat lalu.

Semasa pembentangan Belanjawan 2020, Guan Eng mengumumkan sasaran defisit pada 2020 meningkat kepada 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding sasaran sebelum ini iaitu tiga peratus.

Ini adalah bagi membolehkan ada ruang fiskal untuk menyokong pertumbuhan ekonomi.-MalaysiaGazette