ringgitHarga saham di Bursa Malaysia tinggi semasa dibuka hari ini, didorong beberapa sokongan belian dalam saham wajaran tinggi terpilih walaupun pasaran saham Asia mencatatkan prestasi bercampur-campur.
Gambar hiasan
KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini, mengambil petunjuk daripada prestasi semalaman Wall Street dan saham Eropah yang kukuh.
Saham Amerika Syarikat (AS) ditutup pada paras tertinggi pada Selasa dalam tempoh lebih tiga minggu dipacu oleh laporan pendapatan korporat yang tinggi manakala Britain dan Kesatuan Eropah dilihat semakin hampir merealisasikan perjanjian Brexit menjelang sidang kemuncak pemimpin.Pada 9.07 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 4.89 mata kepada 1,571.12, daripada 1,566.23 semasa ditutup pada Selasa.

Indeks penanda aras dibuka 1.87 mata lebih rendah pada 1,568.10

Kedudukan pasaran secara menyeluruh positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 211 berbanding 62, manakala 185 kaunter tidak berubah, 1,518 tidak diniagakan dan 14 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 134,23 juta saham bernilai RM69.12 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata walaupun suasana semakin positif, ia tidak disusuli dengan peningkatan minat untuk belian semalam yang menyebabkan indeks utama kekal kurang memberangsangkan.

Bagaimanapun, katanya aktiviti pengambilan untung adalah sederhana berikutan minat belian di tempat lain adalah memberangsangkan dan dilihat akan menggalakkan pasaran saham ekuiti Malaysia kekal positif dalam masa terdekat.

“Kenaikan semalaman dalam kebanyakan indeks global utama akan membantu meningkatkan lagi sentimen terhadap saham Malaysia dan ini juga akan membantu mengembalikan keadaan daripada kesuraman semalam.

“Oleh itu kami berpendapat masih ada peluang untuk belian bagi beberapa sektor yang merosot dan ini akan membantu memberikan dorongan jangka panjang untuk indeks utama untuk kembali cergas dalam masa terdekat,” kata firma penyelidikan itu.

Menurutnya paras rintangan akan berada pada 1,572 dan 1580, sementara paras sokongan akan ditambat pada 1,562 dan 1,550.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Petronas Chemicals masing-masing menokok lima sen kepada RM8.56 dan RM7.34, manakala Tenaga naik enam sen kepada RM13.76.

Public Bank naik 10 sen kepada RM19.36 dan IHH Healthcare menokok satu sen kepada RM5.64.

Bagi saham aktif, D & O Green menokok dua sen kepada 67 sen, GD Express naik 1.5 sen kepada 30 sen dan KNM menokok setengah sen kepada 19 sen.

Waran Green Packet dan IFCA masing-masing tidak berubah pada 31.5 sen dan 32 sen.

Indeks FBM Emas meningkat 36.71 mata kepada 11,192.95, Indeks FBMT 100 melonjak 37.16 mata kepada 11,005.98 dan FBM 70 naik 59.45 mata kepada 14,128.79.

Indeks FBM Emas Shariah meningkat 34.40 mata kepada 11,803.73 manakala FBM Ace naik 26.63 mata kepada 4,667.20.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 37.96 mata kepada 15,183.89, Indeks Perladangan naik 12.77 mata kepada 6,647.91 dan Indeks Produk & Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.19 mata kepada 151.62. – MalaysiaGazette