KUALA LUMPUR – Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak meluangkan masa hampir dua jam untuk memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.
Ketika ditemui media sejurus keluar dari bangunan Bukit Aman, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan memberitahu, beliau memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis berhubung siasatan yang dikenakan terhadapnya.
Katanya, beliau dipanggil sebagai saksi bagi kes yang disiasat ekoran satu hantaran di laman Facebook milik beliau yang didakwa berbaur fitnah terhadap Ahli Parlimen DAP Teluk Intan, Nga Kor Ming.
“Alhamdulillah saya telah dipanggil untuk memberi keterangann sebagai saksi dalam muatan atas nama Nga Kor Ming, Super Fans.
“Saya telah beri kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dan lepas ni saya serah kepada pihak polis untuk menilai apa-apa keputusan selanjutnya,” katanya.
Najib yang kini lebih dikenali dengan jolokan ‘Bossku’ berkata, polis mengambil keterangannya dengan bertanyakan tujuan beliau berbuat demikian serta tanggapannya terhadap hantaran-hantaran yang melibatkan Kor Ming.
Ujarnya, beliau tidak akan dipanggil lagi selepas ini berkaitan kes itu dan kehadirannya hari ini di Bukit Aman ditemani peguamnnya, Tan Sri Shafie Abdullah.
Terdahulu, Najib tiba di pintu masuk Bukit Aman pada pukul 11 pagi dengan menaiki kereta jenis Proton Perdana warna hitam dengan nombor pendaftaran TN50.
Najib hadir dengan berpakaian suit warna biru dan berkemeja putih.
Meskipun keadaan cuaca hujan, beberapa penyokongnya tidak berganjak dan menunggu di pintu masuk ibu pejabat polis berkenaan sehingga Najib selesai memberikan keterangan.
Hina Sultan Selangor: Kor Ming serah bukti kepada Bukit Aman
Pada 8 Oktober lalu, Kor Ming menggesa polis menyiasat FB ‘Najib Razak’ susulan hantaran didakwa berbaur fitnah ke atasnya yang dimuat naik di akaun FB itu pada 30 September lalu.
Ia berkaitan isu penghinaan terhadap Sultan Selangor membabitkan tanda jalan yang dimuat naik dalam FB ‘Nga Kor Ming Super Fans’.
Pengerusi DAP Perak itu menganggap tindakan Najib sebagai cubaan merosakkan namanya serta menghasut rakyat membencinya serta DAP.
Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, polis akan meneliti dahulu laporan polis dibuat Setiausaha Sulit Kanan kepada Ahli Parlimen DAP terbabit di Ipoh, Perak pada 3 Oktober lalu.
Huzir menjelaskan, pihaknya akan memanggil bekas perdana menteri itu jika ada keperluan. – MalaysiaGazette
Artikel berkaitan:
Najib beri keterangan di Bukit Aman, dakwa cubaan tutup laman media sosialnya