Ketua Polis Negera, Tan Sri Abdul Hamid Bador bercakap kepada media selepas hadir pada Majlis Anugerah Sukan Polis DiRaja Malaysia 2018 di Dewan Tan Sri Khalid Abu Bakar, Pulapol, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 22 OKTOBER 2019.

KUALA LUMPUR – Atlet-atlet Polis Diraja Malaysia (PDRM) diingat agar tidak terlibat dengan sebarang aktiviti yang boleh memudaratkan diri mereka sendiri dan juga imej pasukan.

Peringatan itu diberikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang mahu atlet tidak terjebak dengan pengambilan bahan terlarang mahupun terlibat dalam perkara-perkara yang akan menjatuhkan maruah diri serta PDRM.

“Terapkan integriti yang tinggi dan komitmen yang jitu dalam usaha melakar lebih banyak kemenangan demi kebanggaan buat diri sendiri keluarga dan pasukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Sukan PDRM 2018, di Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini sebentar tadi.

Dalam pada itu, Abdul Hamid berbangga dengan penyertaan 12 orang atlet PDRM yang telah mewakili negara pada Kejohanan Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Queensland Australia.

Katanya lagi, beliau turut gembira dengan pencapaian seramai lapan atlet PDRM apabila terpilih untuk mewakili negara ke Sukan Asia 2028 dan ia semangnya suatu perkara yang membanggakan.

Majlis Sukan PDRM telah menerima sebanyak 42 pencalonan bagi enam kategori anugerah yang dipertandingkan.

Pengiktirafan diberikan kepada kontinjen yang telah menunjukkan komitmen penuh dengan menyertai semua Kejohanan Piala Ketua Polis Negara sepanjang tahun lalu. – MalaysiaGazette