ACP S. Shanmugamoorthy (dua dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas dan menangkap seorang lelaki tempatan di Kepong.

KUALA LUMPUR – Polis menangkap seorang lelaki dan merampas sejumlah dadah bernilai kira-kira RM93,400 di sebuah lobi hotel di Jalan Kepong dan serbuan di dua premis masing-masing di Pudu serta Segambut di sini malam kelmarin.

Lelaki berusia 45 tahun itu dipercayai bergiat aktif dalam pengedaran dadah di sekitar Sentul dan Lembah Klang kira-kira tiga bulan lalu.

Menurut Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Asisten Komisioner S. Shanmugamoorthy Chinniah, tangkapan itu dibuat kira-kira jam 10 malam Ahad lalu oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Sentul.

Hasil tangkapan itu polis menemui sejumlah dadah jenis Methamphetamine seberat 800 gram, Ketamin 600 gram, dadah jenis serbuk MDMA 85 gram dan pil eramin 80 biji.

Kata beliau, siasatan lanjut ke atas saspek juga membawa pasukan polis ke dua premis di Pudu dan Segambut serta merampas dadah jenis Ketamin seberat 61.30 gram, Metamphetamine 5.43 gram dan dadah jenis serbuk MDMA 123.37 gram.

“Hasil ujian awal saringan air kencing terhadap saspek mendapati positif methamphetamine.

“Kita juga mendapati suspek yang merupakan lelaki tempatan ini mempunyai empat rekod kesalahan lampau berkaitan dadah,” katanya pada sidang media khas di IPD Sentul di sini hari ini.

S. Shanmugamoorthy berkata, suspek ditahan reman bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah selama tujuh hari bermula semalam hingga 27 Oktober ini.

Jelas beliau, siasatan ke atas lelaki terbabit dibuat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

“Dengan tangkapan ini, kita berjaya mengekang aktiviti pengedaran dadah di sekitar kawasan Sentul dan jumlah rampasan itu dipercayai boleh dibekalkan kepada lebih 3,400 pengguna.

“Usaha berterusan akan dilaksanakan untuk membasmi masalah dadah di sekitar Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti pengedaran dadah boleh disalurkan ke hotline polis Kuala Lumpur di talian 03-211 5999, IPD Sentul 03-404 82222 atau mana-mana balai polis yang berdekatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast