Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada media pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 23 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Sokongan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali agar Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memegang jawatan Perdana Menteri selama lima tahun tidak memberi kesan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Presiden PKR itu, sebarang keputusan mengenai peralihan kuasa antara beliau dengan Mahathir telah diputuskan sebagaimana yang termaktub dalam perjanjian dalam Pakatan Harapan (PH).

“Itu kenyataan peribadi, saya sudah ulas dan keputusan ini dalam mana-mana sistem demokrasi, ia keputusan parti yang memerintah,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Anwar berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Mohamed Azmin bahawa Mahathir seharusnya kekal sebagai Perdana Menteri hingga selesai tempoh penggal ini kerana itu mandat diberikan rakyat pada PRU-14 tahun lalu.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson itu turut ditanya mengenai kata-kata Mohamed Azmin yang menggesa pihak yang ghairah mendapatkan kuasa segera agar menghormati mandat yang telah diberikan oleh rakyat pada PRU-14 lalu.

Katanya, mandat yang diberikan adalah untuk tempoh lima tahun dan langkah untuk mengubah pentadbiran kerajaan dalam tempoh dua atau tiga tahun hanya mewujudkan ‘kerajaan pintu belakang’.

“Itu pendapat dialah,” katanya ringkas.

Ketika ditanya wajarkah Ahli Parlimen Gombak itu mengeluarkan kenyataan sedemikian sedangkan beliau berjawatan tinggi dalam kerajaan dan parti, Anwar hanya menjawab;

“Tak apalah, kita faham latar belakang (Azmin),” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Anwar menyifatkan kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Pelek, Ronnie Liu yang mempertikaikan kepimpinan Mahathir dalam PH adalah bersifat peribadi.

“Itu pandangan peribadi Ronnie Liu dan pandangan saya PH terdiri daripada parti-parti gabungan PKR, DAP, Amanah dan Bersatu.

“Bersatu memainkan peranan yang sangat konstruktif, Bersatu adalah komponen penting dalam PH,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Biarlah Tun M kekal PM dalam tempoh penggal ini – Azmin