Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa penyebaran Buku Komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ kepada institusi pendidikan termasuk sekolah adalah satu kebetulan yang telah dirancang.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu yakin perkara itu telah dirancang oleh pihak tertentu.

“Saya fikir penyebaran buku itu bukan sesuatu kebetulan, ianya kebetulan terancang. Ini kerana ia telah berlaku dan beberapa penafian telah dibuat, dan kerosakan telah berlaku,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Ahmad Zahid mengulas mengenai isu komik Hew Kuan Yau yang menjadi kontroversi selepas diedarkan di sekolah tertentu di Pulau Pinang.

Pada 18 Oktober lalu, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan laporan awal oleh bahagian keselamatan kementerian itu mendapati terdapat perkara yang tidak betul dalam komik berkenaan, sekali gus wajar untuk tindakan tegas dikenakan terhadap mereka yang menerbit dan mengedarkan komik tersebut.

Hari ini, tiga individu termasuk bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau dipanggil untuk memberi keterangan di Bukit Aman berhubung penerbitan komik yang didakwa berunsur propaganda.

Perkara itu disahkan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang D5 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, SAC Mior Faridalathrash Wahid. -MalaysiaGazette