Peguam menunjukkan Notis Usul Mahkamah Persekutuan untuk memohon sekolah vernakular dibatalkan kerana tidak berperlembagaan pada Oktober tahun lalu.

PUTRAJAYA – Seorang peguam memfailkan notis usul ke Mahkamah Persekutuan terhadap kerajaan Malaysia bagi mencabar penubuhan sekolah vernakular sebagai tidak berperlembagaan.

Mohd Khairul Azam Abdul Aziz memfailkan notis usul itu di Mahkamah Putrajaya mengikut Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan melibatkan isu keperlembagaan Akta Pendidikan 1996 untuk diadili oleh seorang Hakim Mahkamah Persekutuan.

Beliau berkata, melalui notis usul itu, beliau memohon deklarasi bahawa Parlimen tiada kuasa menggubal Seksyen 17 dan Seksyen 28 Akta Pendidikan 1996 yang menubuhkan sekolah vernakular kerana bertentangan dengan Perkara 152(1)(a) Perlembagaan.

Katanya, menurut Perkara 152(1)(a) Perlembagaan dan menurut kes Mahkamah Persekutuan pada tahun 1986 iaitu kes Universiti Merdeka, sebuah badan awam seperti sekolah yang ditubuhkan kerajaan adalah wajib menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama.

“Saya tidak menafikan hak Perlembagaan kaum minoriti untuk belajar dan mengajar bahasa ibunda kaum mereka.

“Yang saya persoalkan adalah sebagai agensi kerajaan, sekolah vernakular tidak boleh menggunakan bahasa selain Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama di sekolah berkenaan.

“Sekiranya mahkamah membenarkan permohonan saya dan mengisytiharkan sekolah vernakular sebagai tidak berpelembagaan, saya memohon semua sekolah itu ditukar nama kepada Sekolah Kebangsaan (SK) dan menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama, tidak lagi bahasa ibunda masing-masing,” katanya di pekarangan Istana Kehakiman Putrajaya, hari ini

Menurut Mohd Khairul Azam yang merupakan Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), keputusan mahkamah itu juga akan menyekat sebarang saluran Bajet 2020 ke atas sekolah vernakular dan semua wang dari perbendaharaan yang pernah disalurkan ke sekolah itu perlu dikembalikan kepada kerajaan.

Beliau mengambil tindakan itu atas dasar menegakkan keluhuran Perlembagaan dan kes berkenaan tidak perlu dimainkan dalam neraca perkauman, sebaliknya ia adalah semata-mata isu undang-undang dan perlembagaan.

“Saya berharap dengan keputusan kes ini nanti, kita akan mendapat kepastian sama ada sekolah vernakular adalah sekolah sah atau sekolah haram di sisi perlembagaan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast