Rafizi Ramli

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi Shah Alam menetapkan 15 November ini bagi keputusan permohonan rayuan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dan kerani bank, Johari Mohamad yang disabitkan kesalahan melanggar Akta Perbankan dan Institusi Kewangan (BAFIA).

Hakim Mohamad Yazid Mustafar menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah dari Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman.

Rafizi yang dijatuhi hukuman penjara 30 bulan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 7 Februari tahun lalu diwakili peguam Ahmad Nizam Hamid manakala Johari yang turut dikenakan hukuman sama diwakili peguam, Zaid Malek.

Dalam permohonan rayuan hari ini, Mohamad Yazid meminta peguam menyerahkan transkrip perbicaraan itu kepada mahkamah dalam masa 10 hari bermula dari tarikh hari ini untuk penelitian semula.

Beberapa pemimpin tertinggi PKR dilihat hadir untuk memberi sokongan kepada Rafizi, antaranya Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Rafizi dan Johari didapati bersalah atas pertuduhan mendedahkan dokumen penyata baki akaun bank termasuk milik National Feedlot Corporation (NFC) pada 2012.

Bagaimanapun, hakim membenarkan penangguhan hukuman ke atas mereka sehingga keputusan rayuan dengan mengekalkan kos ikat jamin RM15,000 seorang.

Rafizi sebelum ini mengaku tidak bersalah mendedahkan dokumen penyata baki akaun bank itu kepada perunding media Yusof Abdul Alim dan pemberita The Star, Erle Martin Carvalho.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan di Ibu Pejabat PKR di Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan, Petaling Jaya pada 7 Mac 2012. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast