Pelancaran Logo Tahun Melawat Malaysia 2020 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. foto FAREEZ FADZIL, 22 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020) bakal tiba kira-kira dua bulan lagi dari sekarang.

Bagaimanapun, sehingga kini belum nampak sebarang kempen dilakukan oleh kerajaan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk mempromosi TMM2020.

Presiden Kelab Sahabat Media Selangor, Sharul Kamal Mustafa berkata, promosinya masih lagi samar dan kelam berpunca dari kegagalan kerajaan menangani isu berkaitan dengan pentadbiran.

Apatah lagi, kata beliau, kementerian itu yang diterajui menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi langsung tidak ada pengalaman dan pengetahuan mengenai pelancongan.

“Sepatutnya sudah ada promosi di semua saluran televisyen dan radio kerajaan mahu swasta serta papan-papan iklan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

“Namun, setakat ini tidak kelihatan sebarang promosi dilakukan dan kalau ada pun sekadar sambil lewa dan tidak serius,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Sahrul Kamal Mustafa

Sahrul Kamal berkata, kalau tidak ada promosi dilakukan ketika ini, bila lagi kerajaan akan memulakannya dan siapa pula duta yang dilantik untuk mempromosikan TMM2020.

Kata beliau, bukan setakat itu sahaja, logo TMM juga tidak menunjukkan ciri-ciri pelancongan.

“Contohnya, gambar orang utan dan penyu pada logo seolah promosi selamatkan hidupan liar, sedangkan dua haiwan ini bukan berada di semua tempat di negara ini.

“Begitu juga dengan maskot, pernah ada pihak menyarankan agar maskot Doraemon digunakan untuk mewakili Malaysia dan nasib baik ditolak, itu pun kalau ada yang lain dan sampai sekarang belum nampak lagi maskot yang akan digunakan.

“Bagi NGO kami, ia perlukan sentuhan supaya lebih ke arah apa yang pelancong mahukan dari Malaysia,” katanya.

Johor Bahru dikatakan telah mengambi inistif sendiri mempromosikan TMM2020 dengan melancarkan maskot peringkat negeri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast