Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini berikutan pasaran menerima berita mengenai prospek penurunan Petronas, selain aktiviti pengambilan untung menjelang hujung minggu.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR –  Urus niaga di Bursa Malaysia dibuka lebih kukuh hari ini selepas cuti hujung minggu yang panjang, dipacu peningkatan minat untuk mengambil risiko susulan perbincangan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang menggalakkan serta keyakinan AS akan mengurangkan kadar faedah.

Pada 9.03 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.45 mata kepada 1,572.45 daripada 1,570 semasa ditutup pada Jumaat. Indeks utama dibuka 3.16 mata lebih tinggi pada 1,573.16.

Bursa Malaysia dan subsidiarinya ditutup semalam sebagai ganti cuti umum Deepavali yang disambut pada 27 Okt.

Strategis pasaran Asia Pacific Stephen Innes berkata mata wang tempatan terus diniagakan stabil disokong retorik perbincangan perdagangan yang berlangsung dengan baik dan jangkaan Rizab Persekutuan AS akan mengurangkan lagi kadar faedah pada minggu ini.

Bagaimanapun, minat itu terbatas berikutan ekonomi-ekonomi serantau dijangka bakal terjejas oleh ekonomi China yang semakin perlahan.

“Sementara perbincangan perdagangan fasa pertama adalah baik untuk sentimen, namun, peniaga kekal sangsi dengan sebarang pemansuhan tarif sedia ada yang amat penting untuk mengubah aliran pasang surut ekonomi di Asia.

“Dan tanpa pemansuhan, kekangan tarif mungkin tidak memudaratkan keadaan tetapi ini juga bermakna keadaan makro ekonomi tidak akan bertambah baik,” katanya kepada Bernama.

Pada Isnin, Presiden AS Donald Trump berkata fasa satu urus niaga perdagangan dengan China dijangka “lebih awal daripada jadual’ dan ini telah memberi rangsangan terhadap urus niaga ekuiti global, dengan S&P 500 mencecah paras tertinggi.

“Kami mungkin akan lebih awal daripada jadual untuk menandatangani sebahagian besar urus niaga dengan China, dan kami panggil ia fasa pertama tetapi ia melibatkan bahagian yang amat besar,” kata Trump.

Di dalam negara, kedudukan pasaran secara menyeluruh di Bursa adalah positif apabila kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 192 berbanding 51 dengan 218 kaunter tidak berubah, 1,536 tidak diniagakan dan 20 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 108.86 juta saham bernilai RM41.01 juta.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik dua sen kepada RM8.45, Tenaga dan Public Bank masing-masing naik enam sen kepada RM13.90 dan RM19.32 manakala Petronas Chemicals dan CIMB masing-masing naik lima sen kepada RM7.49 dan RM5.00.

Namun, IHH Healthcare susut empat sen kepada RM5.68.

Bagi saham aktif, Velesto menokok satu sen kepada 37.5 sen, Luster Industries naik setengah sen kepada 7.5 sen, IFCA meningkat 1.5 sen kepada 45.5 sen, tetapi Asia Media merosot 7.5 sen kepada enam sen.

FBM 70 naik 51.66 mata kepada 14,027.86, Indeks FBMT 100 meningkat 22.65 mata kepada 10,994.29 dan FBM Ace melonjak 36.18 mata kepada 4,907.29.

Indeks FBM Emas meningkat 24.18 mata kepada 11,184.63 dan Indeks FBM Emas Syariah naik 20.6 mata kepada 11,819.18.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 42.45 mata kepada 15,188.8, Indeks Produk & Perkhidmatan Perindustrian naik 0.64 mata kepada 153.73 tetapi Indeks Perladangan turun 14.4 mata kepada 6,621.51. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast