Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (kiri) diiringi Calon Pakatan Harapan, Karmaine Sardini (dua kiri) menurunkan tandatangan pada Majlis Perasmian Pejabat Cabang PKR Tanjung Piai sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P. 165 Tanjung Piai di Pejabat Cabang PKR Tanjung Piai, Johor. foto SYAFIQ AMBAK, 02 NOVEMBER 2019

PONTIAN – Jentera setiap parti dalam Pakatan Harapan (PH) disarankan supaya jangan ambil mudah setiap pilihan raya kecil (PRK) termasuklah di Tanjung Piai kali ini.

Presiden PH itu berkata, setiap jentera komponen PH termasuk PKR perlu bersiap sedia untuk menggembleng tenaga dan kemahiran politik untuk memenangkan calonnya, Datuk Karmaine Sardini.

“Kita memang mahu semua (jentera PRK) bersiap sedia sebab kita tahu bahawa tiap-tiap PRK adalah satu ujian.

“Jangan ambil sambil lewa dan take for granted dan apa pun kita perlu berusaha sedaya upaya untuk memenangkan calon kita,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir merasmikan Pejabat Cabang PKR Tanjung Piai di Taman Kota Emas sempena Pilihan Raya Kecil Parlimen 16 November ini di sini hari ini.

Turut hadir bersama Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Pandan turut diminta mengulas sama ada calon PH kali ini mampu memusnahkan trend kemenangan BN sejak tiga PRK lalu, beliau berkata; “Insya Allah..itulah yang kita harapkan, kita merayu agar pengundi pengundi kita di sini agar mengundi calon PH kali ini.”

“Sebab kita dulu pun ada wakil rakyat daripada PH dan Haji (Karmaine) adalah pengganti (Allahyarham Md. Farid Md. Farik)

“Kita mahu supaya meneruskan agenda kita untuk melakukan peralihan itu yang mana lebih baik daripada lama,” tegasnya.

Karmaine berdepan saingan lima penjuru daripada BN, Gerakan, Berjasa dan dua Calon Bebas tempatan pada PRK kali ini selepas diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya pada penamaan calon pagi tadi.

PRK diadakan di Tanjung Piai selepas penyandangnya daripada PPBM Dr.Md.Farid Md Farik telah meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 21 September lalu. -MalaysiaGazette