Saifuddin Abdullah

KUALA LUMPUR – Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah hari ini mengesahkan penahanan Naib Presiden Cambodia National Rescue Party (CNRP), Mu Sochua oleh Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) lewat malam tadi.

Beliau selain itu turut mengakui menerima permintaan daripada kerajaan Kemboja untuk menghantar pemimpin parti pembangkang yang diharamkan itu namun ujar Saifuddin, sebarang keputusan Malaysia terhadap Sochua dibuat tanpa terikat dengan desakan pihak tertentu.

“Sochua kini berada di KLIA. Pegawai Imigresen hanya mahu mendapatkan keterangan daripadanya. Dia masuk ke negara ini menggunakan pasport Amerika Syarikat (AS) lewat malam tadi. Pihak Imigresen hanya mahu mengambil keterangannya. Mereka mungkin mahu tahu tujuan dia ke sini.

“Apa pun, pendirian Wisma Putra adalah kita tidak berada dalam posisi untuk menghantar pulang sesiapa atau kita suka untuk berbuat demikian,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Saifuddin terdahulu diminta mengulas mengenai laporan beberapa media antarabangsa yang mendakwa Sochua ditahan pihak berkuasa Malaysia.

Mengulas lanjut, perminataan negara itu katanya, ia perkara biasa di mana sesebuah kerajaan mahu beberapa rakyatnya dihantar pulang.

“Kita buat keputusan secara sendiri bukan kerana permintaan atau campur tangan dari negara luar, jadi apa yang pihak Imigresen lakukan adalah atas kepentingan kita.

“Kita adalah negara demokrasi. Kita ikuti perkembangan ini secara dekat, namun pada masa sama, kita tidak boleh campur tangan dalam apa yang berlaku di negara lain,” katanya lagi.

Dalam pada itu Menteri Luar tersebut menafikan laporan bahawa Sochua ditangkap bersama pengasas CNRP, Sam Rainsy.

“Saya mengenali dia tapi tidak tahu sama ada dia akan ke sini. Ada khabar angin beliau akan datang ke Malaysia untuk bertemu saya (tapi) itu memang tiada dalam perancangan,” katanya.

Minggu lalu, Thailand dilaporkan berkata menolak kemasukan Sochua ketika tiba ke lapangan terbang antarabangsa di Bangkok sebelum wanita itu terbang ke Indonesia dan mengadakan satu sidang akhbar di negara berkenaan.

Media antarabangsa melaporkan, Kemboja dipercayai menahan sekurang-kurangnya 48 aktivis pembangkang tahun ini atas tuduhan merancang menggulingkan Perdana Menteri negara itu, Hun Sen.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pemimpin pembangkang Kemboja ditahan di KLIA