Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersalaman dengan para penyokongnya bagi menghadiri perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum mendengar keputusan kes SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 11 NOVEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Tarikh 11.11 bukan sahaja unik dengan jualan dalam talian terbesar malah ianya juga satu tarikh keramat yang amat dinanti-nantikan kerana keputusan akhir kes berprofil tinggi membabitkan dana RM42 juta SRC International.

Kurang sejam lagi, nasib bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan ditentukan sama ada bebas atau dipanggil untuk membela diri terhadap tujuh pertuduhan membabitkan jenayah rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Najib berdepan dengan tiga tuduhan pecah amanah, satu salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram menggunakan dana SRC International ketika masih lagi menjawat jawatan Perdana Menteri yang ke-6.

Malah Najib juga mencipta sejarah apabila menjadi Perdana Menteri pertama di negara ini yang dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan rasuah sehingga mengundang perhatian dunia.

Seawal jam 6.30 pagi, para penyokong rata-ratanya dari UMNO dan Barisan Nasional serta pengamal media dalam dan luar negara sudah mula berduyun-duyun ke kompleks mahkamah Kuala Lumpur.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali dijangka mengumumkan keputusannya pada jam 10 pagi.

Manakala perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang masuk hari ke-34 pula bermula lebih awal sekitar 9 pagi sebelum memberi laluan kepada keputusan SRC International.

Mohd Nazlan akan membuat keputusan selepas mendengar hujahan pasukan pendakwaan diketuai Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dan barisan peguam bela Najib diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada 23 Oktober lalu.

Mahkamah akan menentukan sama ada untuk memerintahkan Najib membela diri, atau membebaskannya daripada tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC.

Sekiranya Najib diperintahkan membela diri, beliau perlu menjawab pertuduhan terhadapnya.

Sebelum ini, Hakim Mohd Nazlan sebelum ini menetapkan 3 dan 4 Dis, 9 hingga 12 Dis, dan 16 hingga 19 Dis untuk Najib membela diri jika mahkamah mendapati pihak pendakwaan telah mewujudkan kes prima facie terhadap tertuduh. –MalaysiaGazette