Gambar Hiasan. foto AFFAN FAUZI,11 SEPTEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Walaupun kes denggi pertama di dunia yang dijangkiti melalui hubungan seks telah dilaporkan, tetapi risiko jangkitan melalui nyamuk Aedes  masih paling dominan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Lee Boon Chye berkata, risiko jangkitan demam denggi melalui hubungan seks adalah “sangat sangat rendah.”

Beliau bagaimanapun bersetuju bahawa lebih banyak kajian perlu dilakukan untuk mengenal pasti kadar jangkitan denggi melalui hubungan seks.

Katanya kepada China Press, melainkan terdapat bukti lebih kukuh mengenai jangkitan melalui seks yang meluas, cara memerangi denggi yang lazim seperti penghapusan tempat pembiakan nyamuk masih perlu diutamakan.

Beliau berkata, penjagaan kebersihan masih merupakan cara berkesan untuk mengurangkan risiko jangkitan.

Pihak  berkuasa kesihatan Sepanyol sebelum ini mengesahkan bahawa seorang lelaki dijangkiti demam denggi selepas melakukan hubungan seks dengan pasangan sejantina yang mendapat denggi semasa melawat Cuba.

Jangkitan membabitkan lelaki yang tidak pernah melawat negara yang biasa berlaku denggi itu hanya terjawab apabila ujian ke atas sperma kedua-dua lelaki mendapati kewujudan ‘strain’ virus denggi yang merebak di Cuba. – MalaysiaGazette