Menteri Industri Utama, Teresa Kok berucap pada Majlis Perasmian MPOB Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa (PIPOC 2019) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 19 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR- Lesen pemilik ladang kelapa sawit melebihi 100 ekar yang gagal mendapatkan Sijil Kelestarian Kelapa Sawit Malaysia (MSPO) boleh ditarik balik bermula 1 Januari depan.

Menurut Menteri Perusahaan Utama, Teresa Kok, kerajaan sangat serius dalam melaksanakan pensijilan MSPO dan mahu memastikan semua pemain industri mendapat sijil berkenaan.

“Selain untuk memelihara alam sekitar, MSPO juga memastikan kebajikan dan hak pekerja dilindungi oleh majikan.

“Hakikatnya, industri kelapa sawit dilindungi oleh lebih 60 undang-undang dan peraturan negara termasuk kelayakan pensijilan yang ketat oleh MPOB melalui rangkaian nilai.

“Sebarang pelanggaran hak dan syarat MSPO akan menyebabkan lesen operasi ditarik balik,” katanya semasa menyampaikan ucapan di Kongres dan Pameran Antarabangsa Minyak Sawit MPOB 2019 di sini hari ini.

Menurut Teresa, setakat Oktober 2019 sejumlah 60 peratus daripada keseluruhan kawasan penanaman kelapa sawit telah mendapat pensijilan MSPO.

Beliau mensasarkan 70 peratus daripada keseluruhan kawasan penanaman kelapa sawit akan mendapat sijil MSPO menjelang Februari tahun depan.

Dalam pada itu, sejumlah 328 kilang sawit atau 73 peratus daripada 448 kilang sawit di Malaysia telah mendapat pensijilan MSPO, katanya. – MalaysiaGazette