Najib Razak

KUALA LUMPUR – Perbicaraan pinda Laporan Audit 1Malaysia Development (1MDB) yang dihadapi oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masuk hari ke-2 hari ini.

Selain Najib, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy juga didakwa di atas pertuduhan bersubahat dalam membuat pindaan tersebut pada 2016.

Bagaimanapun semalam pasukan pendakwaan yang diketuai oleh Datuk Seri Gopal Sri Ram membuat kejutan dengan memberi bayangan Arul Kanda mungkin akan dipanggil sebagai saksi bagi pihak pendakwaan ini di bawah Seksyen 63 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).

Seandainya itu berlaku, ada kemungkinan Arul Kanda yang sebelum ini dituduh telah bersubahat akan di gugurkan pertuduhan ke atasnya .

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang bukan sahaja melahirkan rasa terkejut, sebaliknya akan membuat permohonan membantah perkara tersebut.

Dakwa Shafee, perkara itu sebenarnya bertentangan dengan Perlembagaan dan pihaknya akan membuat huraian serta perincian terhadap dakwaan beliau pada masa yang sesuai kelak.

“Sebenarnya pada masa ini, saya tidak boleh cakap apa-apa tentang perkara ini kerana penggunaan Seksyen 63 adalah bercanggah dengan Perlembagaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, semalam pendakwaan mendakwa Najib selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan telah mengarahkan perenggan berhubung 1MDB yang berbeza dipadamkan dalam Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.

Mengikut Lampiran A dalam pertuduhan pindaan yang dibaca jurubahasa mahkamah, Najib juga dituduh mengarahkan nama ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, yang hadir dalam Mesyuarat Khas Lembaga Pengarah 1MDB bertarikh 26 Sept 2009 tidak direkodkan dalam senarai kehadiran mesyuarat tersebut walaupun sebenarnya Jho Low hadir.

Selain itu, saksi ke-3, Penolong Pendaftar SSM Muhamad Akmaludin Abdullah mendedahkan syarikat 1MDB yang didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 27 Feb 2009, mempunyai modal terbitan sebanyak RM1 bilion.

Saksi berkata, syarikat persendirian itu yang mempunyai nombor pendaftaran syarikat 848230-V turut melantik beberapa individu termasuk Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi sebagai pengarah syarikat.

Perbicaraan akan bersambung sebentar lagi di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan.

Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya manakala Arul Kanda dituduh bersubahat dengan Najib berhubung kesalahan sama.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Feb, 2016. –MalaysiaGazette