KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin memaklumkan cop ‘DITERIMA’ yang digunakan pada surat yang diutus kepada Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah tidak pernah digunakan di Parlimen.

Katanya, beliau mendapat maklum balas itu selepas menghubungi Rosmee bagi mengetahui kesahihan cop tersebut.

“Setelah berhubung dengan Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah, saya dimaklumkan bahawa Parlimen tidak pernah menerima apa-apa surat seperti yang telah tersebar pagi ini.

“Cop ‘DITERIMA’ pada surat tersebut juga bukanlah cop rasmi yang digunakan oleh Parlimen,” katanya menerusi posting terbaru di Facebook.

Menurut Khairy, rancangan rumit untuk menyebar berita palsu itu telah diguna oleh wartawan yang mudah tertipu untuk melapor maklumat berkenaan.

Terdahulu, tular satu tangkap layar menunjukkan surat yang tertera nama Khairy dihantar kepada Roosme.

Isi kandungan surat itu menyebut mengenai usul membahaskan peralihan kuasa daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Surat tersebut turut menggunakan kepala surat bekas Menteri Belia dan Sukan itu.

Bagaimanapun, selang beberapa jam Khairy membuat penafian mengenai perkara berkenaan di Instagramnya.

Satu laporan polis juga turut dibuat oleh pegawai Khairy bagi menafikan tuduhan yang dilihat boleh mencemarkan imej Khairy dan juga institusi Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette