Dua beranak maut selepas motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah bas Rapid Penang di Jalan Teluk Air Tawar, hari ini.

BUTTERWORTH – Dua beranak maut selepas motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah bas Rapid Penang di Jalan Teluk Air Tawar, hari ini.

Dalam kemalangan kira-kira pukul 6.30 pagi itu, Syamsul Shahril Abdul Rahman, 51, yang menunggang motosikal dalam perjalanan menghantar anaknya Muhammad Adam, 17, ke Sekolah Menengah Kebangsaan Teluk Air Tawar bagi menduduki kertas subjek Biologi peperiksan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata Syamsul Shahril maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala anak lelakinya meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

“Siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku apabila motosikal dinaiki dua beranak dari arah Bagan Ajam menghala ke Teluk Air Tawar yang berada di lorong kiri telah mengubah haluan ke lorong kanan sehingga masuk ke laluan bas yang berada di belakang.

“Tindakan penunggang motosikal mengubah haluan itu telah menyebabkan bas tersebut gagal mengelak dan melanggar belakang motosikal berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Noorzainy berkata pemandu bas berusia 48 tahun itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan polis menahan lelaki berkenaan untuk siasatan lanjut.

Katanya mayat dua beranak itu dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk dibedah siasat.

Beliau turut meminta kerjasama orang ramai atau saksi yang melihat kemalangan itu untuk tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan kes tersebut.

“Pemandu bas itu akan dibawa ke Mahkamah Butterworth esok bagi mendapatkan perintah reman. Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat menurut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

— BERNAMA