Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya.

KUALA LUMPUR – Budaya minum kopi atau mesyuarat tepi yang diamalkan kebanyakan syarikat swasta mahupun korporat selepas menghantar tender perlu dihentikan segera.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya berkata, ia bagi mengelakkan timbulnya syak wasangka dalam pemberian sesuatu kontrak projek.

“Saya menyeru kepada syarikat-syarikat dan pegawai-pegawai jangan adakan mesyuarat tepi atau ‘minum kopi’.

“Kita kena hentikan beberapa budaya yang kita tahu berakar dalam perniagaan. Bila kita permohonan untuk kontrak contohnya ia mesti ada ketelusan.

“Kalau sesuatu perkara tiada ketelusan, apa yang kita lihat budaya di sebelah sana, akan keluar minum-minum kopi,” katanya pada sidang media selepas Hari Integriti PROLINTAS 2019 di Hotel Concorde, di sini, hari ini.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya (dua kiri) diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prolintas, Datuk Mohammad Azlan Abdullah (dua kanan), Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Datuk Ir Mohd Shuhaimi Hassan (kiri) dan Timbalan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standart (JIPS) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Azri Ahmad (kanan) bergambar bersama plak pelancaran pada Majlis Pelancaran Hari Integriti Prolintas 2019 di Hotel Concorde Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 02 DISEMBER 2019

Dalam pada itu, Latheefa juga berkata, mana-mana pemohon yang menghantar permohonan sesuatu kontrak kerja mestilah dilayan sama rata.

“Bila kita semua sudah masukkan permohonan, layanan kita kepada semua pemohon haruslah sama.

“Tidak harus ada apa-apa persoalan atau kecurigaan kerana pegawai-pegawai tertentu pergi minum kopi dengan pemohon-pemohon tertentu.

“Mereka tak sepatutnya ambil ringan perkara ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast