Pihak berkuasa Malaysia telah menahan lebih 1,000 orang warganegara China yang terlibat dengan sindiket penipuan dalam talian pada November sahaja.

KUALA LUMPUR – Malaysia telah menjadi ‘markas luar negara’ sindiket penipuan dalam talian China yang paling utama dengan ribuan ‘eksekutif penipuan’ menyelinap masuk menggunakan visa pelancongan.

China Press melaporkan, daripada tiga juta pelancong China yang memasuki Malaysia tahun lalu, beribu-ribu malahan mencecah lebih10,000 daripada mereka adalah penipu yang digaji sindiket penipuan.

Apatah bukannya, pada bulan November sahaja, pihak berkuasa Malaysia telah menahan lebih 1,000 orang warganegara China yang terlibat dengan sindiket penipuan dalam talian.

Yang pasti, angka tersebut cuma melambangkan sebahagian kecil daripada penipu yang ada di Malaysia.

Lebih membimbangkan, kegiatan haram yang menggunakan penipu warga China dan menyasarkan mangsa dari negara sama itu juga didapati sudah memperluaskan sayap dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak.

Polis, Imigresen dan orang ramai juga menghidu sesuatu yang pelik dengan kemunculan ramai warga China di kawasan komersial dan perumahan tertentu.

Keadaan itu juga membawa kepada operasi penguatkuasaan yang berjaya melumpuhkan beberapa markas sindiket penipuan.

Dalam tempoh dua bulan sahaja, Polis Kuala Lumpur telah menyerbu 30 ‘pusat panggilan China’ di ibu negara.

Selain itu, serbuan dan tangkapan juga berlaku di Puchong, Balakong dan Cyberjaya di Selangor, Georgetown di Pulau Pinang, Kota Kinabalu di Sabah dan Kuching di Sarawak pada Oktober dan November.

Polis percaya sindiket telah mengambil kesempatan daripada hubungan baik antara Malaysia dan China, termasuk sambutan ulang tahun ke-45 hubungan diplomatik antara dua negara pada tahun ini, untuk menjadikan Malaysia sebagai markas.

Hubungan dua hala yang baik mendorong ramai pelancong China melawat Malaysia, sekali gus membolehkan ‘eksekutif penipuan’ dengan mudahnya menggunakan identiti pelancong untuk melakukan aktiviti haram di negara ini tanpa dikesan.

China Press melaporkan, memandangkan mangsa juga merupakan warga China, maka pihak berkuasa tidak dapat mendakwa perbuatan penipuan mereka.

Pihak berkuasa sebaliknya hanya boleh mengambil tindakan atas kesalahan penyalahgunaan visa selain menyerahkan mereka kepada pihak berkuasa China untuk tindakan selanjutnya.

Walaupun mereka yang ditahan akan dihalau dan dihantar pulang ke negara asal, tetapi orang baharu dari China yang mengidamkan gaji lumayan akan datang ke Malaysia untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan.

Keadaan tersebut menyebabkan masalah yang sedang berlaku sukar diakhiri. – MalaysiaGazette