MIT

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Antrabangsa dan Industri (MITI) mengesahkan proses pelantikan syarikat tender Pengurusan Komunikasi dan Penjenamaan bagi Penganjuran APEC 2020 adalah mengikut tatacara perolehan tender terbuka dan mengikut peraturan kewangan sepenuhnya.

Namun, sekiranya ada sebarang aduan mengenai ketidakpatuhan kepada Peraturan dalam sebarang proses Perolehan Kerajaan, MITI menyarankan agar laporan segera dibuat kepada pihak berkuasa agar tindakan lanjut dapat dilaksanakan.

MITI dalam kenyataan berkata, pihaknya menaruh kepercayaan penuh kepada proses perundangan negara dan mengambil serius perkara ini.

Sebarang aduan salah laku mengenai tatacara perolehan yang disyaki dilakukan oleh pegawai MITI dan juga oleh petender akan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan dan tindakan yang sewajarnya.

“MITI komited menyokong Pelan Anti Rasuah Nasional yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri dan berharap agar semua pihak akan memberikan kerjasama penuh agar tatacara perolehan dana Kerajaan Malaysia di dalam penganjuran APEC 2020 dijalankan secara amanah, telus dan integriti bagi memastikan penganjuran ini sukses dan berjalan lancar, kata MITI.

MITI berkata, mulai tahun 2019, Sekretariat Kebangsaan APEC 2020 di bawah MITI telah mengeluarkan beberapa iklan tender dan sebut harga bagi mendapatkan perkhidmatan pembekalan barang-barang dan juga perkhidmatan sebagai persiapan penganjuran dan akan berterusan mengikut keperluan penganjuran APEC 2020.

Sekretariat Kebangsaan APEC 2020 sebagai badan yang ditubuhkan di bawah MITI adalah tertakluk kepada tatacara perolehan kewangan seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan dan memastikan tiada sebarang salah laku di dalam proses ini.

Katanya, sepanjang tahun 2020 ini, MITI akan mengeluarkan beberapa lagi iklan tender dan sebutharga mendapatkan perkhidmatan dan pembekalan bagi kegunaan penganjuran APEC2020 dan ingin mengingatkan petender supaya mematuhi segala syarat dan undang-undang yang telah ditetapkan di dalam membuat penawaran kerja bagi mengelakkan sebarang isu integriti kepada pihak MITI dan juga petender.

MITI sentiasa memastikan segala proses perolehan dijalankan mengikut tatacara kewangan yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan yang memastikan penganugerahan tender dan sebutharga perkhidmatan dan pembekalan adalah secara telus dan penuh integriti dan menyarankan agar petender yang bakal menyertai tawaran iklan juga mengutamakan budaya berintegriti tinggi.

Ujarnya, petender-petender disarankan untuk sentiasa merujuk laman sesawang MITI dan sistem e-Perolehan bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai tender dan sebut harga yang akan diiklankan oleh MITI bagi penganjuran APEC 2020. – MalaysiaGazette