KUALA LUMPUR – Tidak sampai 10 ahli parlimen mengucapkan tahniah kepada Rafizi Ramli atas pembebasan Naib Presiden PKR itu daripada daripada hukuman penjara 30 bulan baru-baru ini.

Itu kekesalan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen yang menganggap ramai wakil rakyat PH tidak menghargai pengorbanan bekas Ahli Parlimen Pandan itu.

“Saya mengira kurang daripada 10 orang anggota ahli Parlimen mengucapkan tahniah kepadanya dalam kumpulan WhatsApp PH.

“Tidak hadir perbicaraan untuk menyokongnya boleh dimaafkan tetapi tidak mahu menaip mesej ringkas untuk mengucapkan tahniah kepada Rafizi kerana takut menyinggung pimpinan atasan, adalah mengecewakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wong tidak menolak kemungkinan ia antara sebab Rafizi mengambil keputusan meninggalkan arena politik.

“Sejak PRU-14, beliau terpaksa berdepan dengan pelbagai kes di mahkamah sivil.

“Beliau berjuang untuk terus hidup dengan dana sendiri yang terhad selama setahun.

“Katakan apa sahaja yang anda mahu, pada saya, beliau (Rafizi) salah seorang daripada segelintir reformis tulen yang diperlukan Malaysia,” katanya.

Wong tidak merasakan yang Rafizi mahukan ganjaran, cuma mahukan sumbangan dan pengorbanan yang dilakukan dihargai.

Beliau juga berkata, walaupun Rafizi tidak bertanding dalam PRU-14 kerana kekangan daripada kesnya di mahkamah beliau sepatutnya wajar dilantik senator.

“Ramai yang sumbangan mereka tidak seberapa berbanding Rafizi tetapi telah menerima jawatan selesa di kementerian.

“Saya tidak dapat menahan kesedihan melihat ahli politik paling bekerja keras dan terbaik di generasi ini meninggalkan pentas politik. ‘Bravo’ sahabatku, semoga takdir membawa kita pada jalan yang sama suatu hari nanti,” ujarnya lagi.

Pada 15 November lalu, Mahkamah Tinggi membebaskan Rafizi daripada hukuman penjara 30 bulan membabitkan kes mengikut Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan.

Keputusan itu dibuat selepas Rafizi membuat rayuan terhadap sabitan dan hukuman yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Sesyen pada 7 Februari lalu selepas didapati bersalah mendedahkan 4 akaun bank berkaitan National Feedlot Corporation (NFC) dan pengerusinya, Mohamad Salleh Ismail.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Rafizi Ramli tinggalkan dunia politik

5 Komen

  1. Oloh oloh..rafizi.. sedihnya kamu..akhirnya pakar fitnah paling kuat tdk juga di hargai oleh kwn2nya.. pergilah dia membawa diri meratapi kesedihan..

  2. Memang tidak boleh dinafikan rafizi salah seorang yg paling aktif menentang bn masa ph menjadi pembangkang. Walaupun ada ketika fakta yg dinyata tidak tepat. Itulah politik masa susah anda disanjung, tp bila berjaya orang lain yg dpt labanya.

  3. Habis madu sepah di buang… Itu la nasib kau rafizi.. Xde sape geng PH nk tlg dah… Bile dh selesa dgn jawatan masing2.. Tukang karut mcm kamu dibuang begitu saje… Tahniah rafizi dan PH.. Itu la sifat2 pH

Comments are closed.