KUALA LUMPUR – Kumpulan AirAsia dan Universal Music Group (UMG) melancarkan syarikat rakaman, RedRecords yang merupakan usahasama inovatif bagi membangunkan artis baharu Asia dan mengangkat muzik pop Asia (A-pop) kepada audiens baharu di peringkat global.

Kerjasama itu akan memberi tumpuan kepada pencarian dan pembangunan bakat dari Asia Tenggara dan seluruh benua dengan kriteria pemilihan yang mencerminkan kepelbagaian budaya di Asia.

RedRecords yang berpangkalan di Kuala Lumpur dan Los Angeles akan menggabungkan kepakaran industri UMG dalam pembangunan artis dengan kekuatan pemasaran serantau dan global AirAsia untuk mengembangkan muzik A- Pop untuk audiens di seluruh dunia.

Selain pembangunan artis, syarikat rakaman tersebut juga akan menyediakan perkhidmatan pengedaran, pemasaran, pengurusan dan agensi.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes berkata, selama ini syarikat itu telah merevolusikan perjalanan udara agar semua orang boleh terbang.

”Sempena meraikan operasi AirAsia yang ke-18, kami akan memfokuskan kepada transformasi sebagai peneraju gaya hidup dan syarikat perjalanan digital di peringkat global.

“Bagai sirih pulang ke gagang, kami kini kembali kepada industri muzik untuk merevolusikan budaya pop Asia pada masa hadapan dan meletakkannya di pentas global bersama Universal Music sempena pelancaran RedRecords,” katanya pada sidang media RedRecords baru-baru ini.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Universal Music Group Sir Lucian Grainge pula berkata, pihaknya, teruja untuk mengumumkan pelancaran RedRecords bersama AirAsia.

“Kejayaan di seluruh dunia muzik Latin dan K-Pop telah membuktikan bahawa tiada halangan kepada muzik tanpa mengira bahasa dalam era penstriman ini.

“Melalui gabungan pemasaran strategik dan sumber sedia ada oleh AirAsia dan UMG, kami boleh menawarkan artis-artis Asia peluang keemasan yang untuk menempa nama secara global,” katanya.

Pada sidang media tersebut, RedRecords mengumumkan artis naungan pertamanya, Jannine Weigel, seorang penyanyi, penulis lirik, pempengaruh dan pelakon.

Weigel telah mengeluarkan beberapa single dan EP dan mempunyai lebih 600 juta tontonan dan 3.3 juta pengikut di YouTube, selain 3.2 juta pengikut di Facebook, 1.5 juta di Instagram dan lebih daripada 500,000 di TikTok.

Jannine Weigel berbangga menjadi artis pertama di bawah RedRecords dan mempunyai sokongan daripada pasukan yang sangat hebat untuk membawa kerjayanya ke tahap yang lebih tinggi.

”Saya percaya para peminat akan menyukai pengalaman luar biasa yang kami bakal tawarkan dan saya tidak sabar untuk anda semua mendengar muzik baharu saya,” katanya.

Awal tahun ini, UMG mengumumkan perkembangan operasi di rantau ini dengan pelancaran ibu pejabat serantau baharu di Singapura.

UMG komited untuk mempercepatkan tumpuannya dalam mengembangkan keseluruhan ekosistem muzik di seluruh Asia Tenggara termasuk muzik yang telah direkodkan, penerbitan muzik, pengeluaran, acara langsung, perkongsian jenama dan barangan. – MalaysiaGazette