Qantas menggunakan tiga gelongsor kecemasan mengeluarkan 271 penumpang dari pesawat yang tiba-tiba berasap selepas berpatah balik ke Sydney. foto Agensi

SYDNEY – Para penumpang penerbangan Qantas Airways Ltd terpaksa dikeluarkan daripada pesawat dengan menggunakan gelongsor kecemasan di lapangan terbang Australia di Sydney pada hari Ahad selepas penerbangan itu terpaksa berpatah balik.

Dalam satu kenyataan, Qantas berkata, penerbangan QF575 ke Perth kembali ke Sydney sejurus selepas berlepas berikutan isu hidraulik.

“Setelah kembali di pintu masuk, juruterbang membuat keputusan untuk mengosongkan pesawat itu sebagai langkah berjaga-jaga dan tiga gelongsor kecemasan telah digunakan,” kata kenyataan itu.

Qantas berkata, jurutera sedang memeriksa pesawat Airbus A330-200 yang boleh membawa kira-kira 271 orang penumpang.

Perbadanan Penyiaran Australia (ABC) melaporkan bahawa pesawat itu tidak bergerak di landasan selepas mendarat dan asap mula memenuhi ruang kabin.

“Kami sedang berada di landasan menunggu untuk ditunda dan kami mula terbau benda terbakar,” kata seorang penumpang, Dillon Parker. – MalaysiaGazette