KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anifah Aman mengesahkan beliau tidak  bertanding untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kimanis pada Pilihan Raya Kecil yang dijadualkan pada 18 Januari tahun depan.

Bagaimanapun, Anifah berkata, beliau akan bertanding lagi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti.

Dalam satu kenyataan yang emosi, bekas Menteri Luar itu tetap mempertahankan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah cuai hingga mengakibatkan kesulitan yang tidak wajar kepada rakyat di Kimanis dan pembaziran wang pembayar cukai.

Pada 16 Disember lalu, SPR telah mengumumkan PRK di Parlimen Kimanis selepas keputusan Mahkamah Persekutuan mendapati berlaku perlangagran undang-undang pada PRU yang lalu.

“Walaupun, saya sangat tidak bersetuju dengan keputusan Mahkamah Persekutuan, namun, saya menerima kesahan proses mahkamah yang diberikan kepada saya.

“Kegagalan SPR merayu keputusan Mahkamah Persekutuan terhadapnya, menimbulkan spekulasi bahawa ia adalah terlibat dalam pengkhianatan mandat rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Anifah berkata, sebagai mangsa kecuaian dan ketidakcekapan SPR, atas nasihat peguam, beliau akan memulakan prosiding undang-undang terhadap SPR untuk ganti rugi.

BACA: Kemenangan Anifah terbatal, PRK di Kimanis

Beliau turut melahirkan rasa bertuah kerana diberi peluang untuk berkhidmat kepada penduduk Kimanis.

Katanya, sepanjang tiga penggal sebagai Ahli Parlimen beliau telah berusaha untuk melakukan yang terbaik dengan kebolehan yang ada untuk membawa pembangunan kepada rakyat Kimanis tanpa mengira ideologi politik dan latar belakang kaum.

“Sebagai Menteri Luar Negeri Malaysia selama 9 tahun, saya bangga mewakili Sabah dan Malaysia untuk berada dalam kalangan pemimpin dunia ketika menghadiri banyak mesyuarat dan flora antarabangsa.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerendahan hati UMNO dan Barisan Nasional atas peluang yang diberikan kepada saya untuk berkhidmat kepada rakyat Kimanis, negeri saya, Sabah dan negara kita, Malaysia,” ujarnya.

Meskipun berehat sementara, Anifah berikrar akan menumpukan usaha untuk menyatukan pelbagai kuasa politik di Sabah demi kebaikan negeri itu.

Cabaran yang dihadapi Negeri Sabah dan negara ini banyak dan jika tidak ditangani dengan betul akan mengancam keselamatan dan kesejahteraan negara dan negara, katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.