KUALA LUMPUR – Dong Jiao Zong didakwa langsung tidak tahu hormat kepada Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan apabila mengajak semua pertubuhan Cina berdaftar menghadiri himpunan bantahan tulisan Jawi dalam mata pelajaran bahasa Melayu di sekolah jenis kebangsaan.

Lantaran itu, pemerhati politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff mempersoalkan apa yang berdaulatnya Lembaga Pengelola Dong Jiau Zong ini hingga ia langsung tidak boleh disentuh sedangkan Raja-Raja Melayu yang benar-benar berdaulat pun boleh disentuh.

Beliau turut mempersoalkan gesaan Dong Zong supaya kerajaan mendengar pandangan rakyat dan membatalkan cadangan memperkenalkan tulisan jawi.

“Tak mendengar pandangan rakyat (bukan Melayu) lagikah bila kerajaan sudah mengubah cadangan tulisan Jawi dari wajib jadi pilihan dan dari 6 muka surat jadi 3 muka surat?

“Apa yang jadi masalah dengan empat istilah Jawi sahaja, iaitu “Bersekutu Bertambah Mutu”, “Bank Negara Malaysia”, “Ringgit Malaysia” dan “Malaysia?,” kata Kamarul lagi.

Beliau mengulas kenyatan media Dong Zong semalam yang menyeru agar semua pertubuhan Cina yang berdaftar menghadiri himpunan membantah cadangan memperkenalkan tulisan Jawi yang akan diadakan di New Era University College pada hari Sabtu depan.

Lokasi penganjuran itu adalah tempat sama dengan himpunan bekas-bekas pengganas komunis dan para penyokongnya pada 1 Disember lalu.

Kenyataan itu berkata, himpunan pertubuhan-pertubuhan Cina ini adalah untuk menggembleng tenaga dalam menjaga kedaulatan Lembaga Pengelola SJK Cina dan Tamil.

Ia juga mahu menggesa kerajaan supaya mendengar pandangan rakyat dan seterusnya membatalkan cadangan memperkenalkan tulisan Jawi dalam mata pelajaran bahasa Melayu di SJK.

Menyifatkan kenyataan Dong Zong itu sebagai provokatif dan ekstremis, Kamarul berkata, apabila pertubuhan-pertubuhan Melayu menganjurkan kongres bagi membincangkan kepentingan masyarakat Melayu, gegak gempita seluruh negara dengan tuduhan bahawa mereka rasis.

Soalnya, sekarang ini apabila pertubuhan-pertubuhan Cina pula yang berhimpun bagi membincangkan kepentingan masyarakat Cina, mengapa pula mereka tidak dituduh sebagai rasis juga?. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Tiada lagi papantanda atau signage dlm bahasa asing – semua wajub dlm bahasa Malaysia, termasuk istilah2 seperti presint dsbnya.

Comments are closed.