Ikmal Hazlan Ikmal Hisham (kanan)

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mahu kerajaan mengambil kesempatan pada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (KL Summit) untuk mengutuk sekeras-kerasnya penganiayaan kerajaan China terhadap masyarakat Islam Uyghur.

Anggota Exconya, Ikmal Hazlan Ikmal Hisham berkata, konvensyen KL Summit berlangsung sekarang ini adalah medan terbaik yangtidak harus dilepaskan oleh kerajaan Malaysia.

Kata beliau, Pemuda UMNO berasa sedih dengan tragedi menimpa masyarakat Islam di wilayah Xinjiang (Timur Turkestan), China.

“Malaysia harus mengutuk sekeras-kerasnya penganiayaan masyarakat Islam Uyghur sama seperti kutukan yang diberikan terhadap penindasan penduduk Islam di Rohingya.

“Ini kerana, dasar asimilasi sistematik pihak berkuasa China terhadap penduduk Islam di sana amat memalukan dan melanggari hak asasi manusia pada tahap sangat kritikal,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Beliau menjelaskan, masjid, sekolah agama dirobohkan, penduduk diseksa dan dipaksa melakukan amalan menyalahi agama, manakala anak kecil diberikan pendidikan bagi proses indoktrinasi serta kaum wanita dirogol dan dikahwinkan secara paksa.

Tindakan itu, ujarnya dilakukan dengan alasan untuk mengasimilasikan bangsa di China dan membendung penularan ‘terrorist’.

“Kita menyeru pimpinan kerajaan dan pejuang hak asasi manusia di Malaysia berani bersuara dalam mendepani tragedi yang menimpa umat Islam di sana.

“Hak asasi manusia hendaklah menjadi keutamaan berbanding dengan kepentingan ekonomi negara. Sejarah akan ingat semua yang membisu,” katanya.

Ikmal Hazlan berkata, jika ingin menjadi pemimpin dalam dunia Islam, Malaysia seharusnya menjadi yang pertama untuk mengumumkan pendirian dalam isu penindasan ke atas masyarakat Islam Uyghur secara rasmi.

Beliau turut berkata, Pemuda UMNO juga menyeru penduduk dan umat Islam di negara ini mengambil maklum serta melihat secara serius isu penindasan kaum yang berlaku terhadap masyarakat Islam Uyghur.

“Marilah bersama menyatakan sokongan kita agar kesedaran awam terhadap isu ini dapat diperluaskan dan memberikan tekanan terhadap pihak yang terlibat,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast