Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (dua kiri) bersalaman dengan Badan Penasihat Syariah institusi kewangan Islam, Datuk Dr. Mohd Daud (tengah) dan diiringi Ketua Setiausaha Majlis Pertubuhan Islam Amerika Syarikat, Oussama Jamal (dua kanan), Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri (kiri) pada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 20 DISEMBER 2019

KUALA LUMPUR- Bukan mudah untuk Permodalan Nasional Bhd. (PNB) untuk membayar agihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebanyak 5.5 sen seunit pada 2019 berikutan persekitaran ekonomi yang sangat mencabar ketika ini.

Menurut Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali, jumlah keseluruhan agihan pendapatan ASB yang bernilai RM9 bilion adalah satu angka yang sangat besar dalam keadaan sekarang.

Kejayaan itu sekali gus menunjukkan firma pengurusan dana tersebut telah melakukan yang terbaik bagi memastikan para pemegang unit mendapat agihan pendapatan yang baik meskipun dalam persekitaran ekonomi yang mencabar.

“Kami mahu memastikan PNB diurus tadbir dengan ketelusan dan kebertanggung jawaban tetapi agihan pendapatan keseluruhan melibatkan wang berjumlah RM9 bilion, ia bukan satu angka yang kecil terutama dalam keadaan sekarang.

“Saya rasa PNB sedang berusaha sehabis daya untuk memastikan semua pemegang unit mendapat pulangan yang lebih baik pada tahun-tahun akan datang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi plenari 1: Agihan Semula Kekayaan- Kemakmuran Bersama sempena Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di sini hari ini.

Rabu lalu, PNB mengumumkan agihan pendapatan bagi dana amanah utamanya, ASB sebanyak 5.5 sen seunit (termasuk 0.5 sen bonus), kadar terendah sejak dilancarkan pada 2019.

PNB meletakkan prestasi lemah Bursa Malaysia sebagai punca utama yang menyumbang kepada agihan pendapatan terendah dalam sejarah ASB itu.

Ini kerana majoriti atau kira-kira 65 peratus pelaburannya adalah dalam pasaran saham tempatan.

Tambah Azmin, beliau meletakkan kepercayaan kepada pengurusan terbaharu PNB untuk menjadikan urus tadbir yang baik sebagai tunjang kekuatan firma tersebut dan seterusnya memberikan pulangan terbaik kepada pelabur pada masa hadapan.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai nasib Malaysia Airlines (MAS), Azmin berkata, mesyuarat lembaga pengarah pada 17 Disember lalu membuat keputusan untuk menolak kertas cadangan yang telah dibentangkan.

Tanpa mendedahkan butiran mengenai kertas cadangan tersebut, Azmin menjelaskan ianya tidak menarik dan Pengerusi MAS, Tan Sri Mohammed Nor Md Yusof; Perdana Menteri dan ahli-ahli lembaga pengarah yang lain memutuskan untuk melihat kepada opsyen-opsyen lain sebelum membuat sebarang keputusan terhadap masa depan syarikat penerbangan nasional itu.

“Saya tidak pasti (jika keputusan boleh dibuat pada tahun ini) kerana 2019 hanya berbaki beberapa hari lagi tetapi apa yang boleh saya beri jaminan, kami memerlukan lebih banyak perbincangan mengenai perkara ini.

“Kami menerima beberapa kertas cadangan daripada syarikat-syarikat lain sama ada di peringkat serantau mahu pun antarabangsa,” katanya lagi.- MalaysiaGazette