PETALING JAYA – Yayasan Angkasa akan menambahkan peruntukan untuk pembiayaan pembelajaran dalam kalangan ahli dan anak ahli koperasi sebanyak RM1.5 juta tahun depan.
Dengan jumlah itu, pengambilan pelajar juga akan bertambah dari 148 orang kepada lebih 200 orang setahun.
Menurut Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah, penambahan peruntukan itu dibuat berikutan kewangan agensi berkenaan agak baik dan mendapat sambutan menggalakkan dari ahli koperasi.
“Pembiayaan pembelajaran ini kita mula sejak tahun 2000 lagi dan sehingga kini kita telah memperuntukan RM13.9 juta melibatkan pembiayaan kepada 1,062 pelajar.
“Bagi pelajar yang mendapat keputusan kelas pertama, pembiayaan yang mereka terima itu kita tukar kepada biasiswa. Maknanya, mereka tidak perlu bayar balik.
“Begitu juga yang mendapat kelas kedua ke atas, mereka hanya perlu membayar 40 peratus dari jumlah pinjaman. Katakan, mereka pinjam RM10,000, mereka hanya perlu bayar balik RM4,000,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Portal Pelajar dan penyerahan Dokumen Pembiayaian Pendidikan Yayasan Angkasa di Auditorium Angkasa hari ini.
Abdul Fattah berkata, pemohon baru kali ini boleh mengikuti pengajian di peringkat Master dan PHD dengan pembiayaan dari Yayasan Angkasa, yang mana sebelum ini tertumpu pada peringkat ijazah.
“Kali ini kita bukan saja fokus kepada ijazah pertama tapi ijazah kedua dan juga PHD. Kita telah pelbagaikan pembiayaan kursus.
“Ini antara peranan Angkasa untuk memberi peluang kepada ahli meningkatkan ilmu dan dalam konteks ini kita membantu mengurangkan beban kos mereka,” katanya.
Mengenai Portal Pelajar, beliau menjelaskan, laman web itu akan memudahkan ahli koperasi mengakses mengenai maklumat pengambilan pelajar baharu oleh Yayasan Angkasa.
Setiap pelajar termasuk ibu bapa mereka boleh menyemak keputusan yang diperolehi, jumlah pembiayaan dan baki yang ada.
“Kita gunakan teknologi untuk mereka jimatkan wang ringgit dan tenaga untuk mendapat tahu keputusan atau status mereka di pejabat Angkasa.
“Mereka buka sahaja portal, semua ada disediakan di situ termasuk keputusan peperiksaan mereka. Ibu bapa juga boleh akses portal ini untuk mengetahui maklumat lanjut pengajian anak mereka,” katanya. – MalaysiaGazette
















