Abdul Fattah Abdullah

PETALING JAYA – Pembiayaan pendidikan Yayasan Angkasa tidak berasaskan keuntungan sebaliknya bertujuan untuk membantu ahli dan anak ahli koperasi meringankan beban kos sara hidup sepanjang melanjut pengajian di institut pengajian tinggi (IPT).

Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, banyak keistimewaan disediakan agensi itu kepada ahlinya terutama yang hendak melanjutkan pengajian di peringkat tinggi.

“Jika mereka mendapat pembiayaan (pinjaman) sebanyak RM10,000, mereka hanya perlu membuat bayaran balik RM10,000 tanpa dikenakan kadar faedah sebagaimana tabung pinjaman lain.

“Bahkan, kalau mereka mendapat keputusan cemerlang atau terbaik, pinjaman itu automatik ditukar kepada biasiswa iaitu pembiayaan sepenuhnya oleh Yayasan Angkasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Portal Pelajar dan penyerahan Dokumen Pembiayaian Pendidikan Yayasan Angkasa di Auditorium Angkasa hari ini.

Kata beliau, Angkasa mempunyai lebih 14,000 koperasi di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dengan lebih enam juta ahli.

Abdul Fattah berkata, setakat ini beliau berpuas hati dengan proses bayaran balik oleh ahli yang dibuat mengikut jadual ditetapkan.

Menurutnya, daripada 1,062 ahli yang juga pelajar yang mendapat pembiayaan itu, 500 sudah tamat pengajian.

“Daripada 500 itu pula hanya 18 orang yang belum membuat bayaran balik. Ini mungkin disebabkan kekangan kewangan dihadapi mereka.

“Yayasan Angkasa tidak ada masalah dari segi mendapatkan balik jumlah pembiayaan itu kerana lebih 70 peratus daripada keseluruhan RM13.9 juta yang kita peruntukan telah ditukar kepada biasiswa,” katanya.

Abdul Fattah menjelaskan, sehingga Oktober lalu, Angkasa mempunyai jumlah saham berjumlah RM15.2 bilion dengan lebih enam juta ahli dan 14,000 koperasi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast