Projek menara apartment mewah Maju KL ini tertangguh akibat kegagalan syarikat kontraktor menyiapkan kerja pembinaan cerucuk.

KUALA LUMPUR – Syarikat pemaju hartanah, ASM Development (KL) Sdn. Bhd. (ASMDKL) memfailkan saman balas hampir RM346 juta terhadap Ecornpile Sdn Bhd (Econpile) sebagai tindak balas saman yang difailkan kontraktor pembinaan itu berhubung kegagalan melaksanakan kerja membabitkan projek pembinaan Maju Kuala Lumpur (Maju KL).

Dalam saman balas difailkan oleh firma guaman Edwin Lim & Suren pada November lalu, ASMDKL, syarikat milik Maju Holdings Sdn Bhd itu menyenaraikan 13 tuntutan balas bagi menuntut ganti rugi berikutan kegagalan Econpile melaksanakan kerja mengikut tarikh ditetapkan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ASMDKL, Mohd Farid Nawawi, tuntutan itu dilakukan selepas Econpile yang dilantik bagi melaksanakan pembinaan cerucuk dan struktur asas projek bernilai RM280 juta itu bertindak menghentikan kerja pada awal Mac lalu.

Saman balas itu, katanya, turut menyenaraikan tuntutan kerosakan kerja awal sebanyak RM33.8 juta yang ditinggalkan Econpile melibatkan pembinaan asas bagi projek pembinaan membangunkan tujuh blok menara apartmen mewah Maju KL.

“Kegagalan syarikat tersebut melengkapkan kerja-kerja berkenaan memberi impak kepada ASMDKL, sekali gus mengakibatkan penangguhan kerja penyiapan dan proses penyerahan 1,403 unit rumah yang sudah dijual kepada pembeli di bawah perjanjian jual beli dengan kos tuntutan mencecah RM98 juta.

“Berdasarkan tuntutan balas itu, ASMDKL turut menyenaraikan kos operasi yang terpaksa ditanggung disebabkan kelewatan serta penyambungan kerja-kerja yang ditinggalkan Econpile sejak 1 Mac lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, kata Mohd Farid, ASMDKL terpaksa melantik kontraktor baharu bagi meneruskan kerja berkenaan selepas Econpile gagal melaksanakan kerja yang termaktub dalam  kontrak dipersetujui, selain disahkan menerusi Perakuan Kerja Tidak Siap (CNC) oleh arkitek kepada syarikat kontraktor berkenaan pada 7 April 2018.

Di samping itu juga katanya, ASMDKL turut menuntut pembayaran membabitkan 110 unit rumah bernilai hampir RM67 juta daripada syarikat Platinum Rhythm Sdn Bhd yang merupakan milik pengarah dan pemegang saham Econpile menerusi perjanjian pembelian blok pada 25 Ogos 2017.

Media sebelum ini melaporkan, Econpile mengambil tindakan undang-undang bagi menuntut kira-kira RM67 juta daripada ASMDKL sebagai ‘tuntutan bayaran kemajuan’ pelaksanaan kerja.

Bagaimanapun, ASMDKL mempersoalkan tindakan Ecornpile membuat tuntutan tersebut memandangkan syarikat konraktor itu bertindak menghentikan kerja, bukan ditamatkan kontrak oleh ASMDKL. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast