Ti Lian Ker

KUALA LUMPUR – Cadangan Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihanraya (ERC) untuk memansuhkan pilihan raya kecil (PRK) adalah satu tindakan yang menghina sistem demokrasi dan menafikan hak pengundi.

Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, PRK boleh dianggap sebagai ujian pertengahan tahun dan memberi peluang untuk rakyat memberi maklum balas dan semak imbang ke atas tindakan dan dasar semasa kerajaan.

Ia juga merupakan peluang kepada kerajaan dan pembangkang turun padang untuk menyukat sokongan rakyat dan membolehkan kerajaan menerima maklum balas daripada rakyat mengenai polisi-polisi yang dilaksanakannya selain memberi peluang kepada pengundi untuk menilai prestasi kerajaan dan menyuarakan pendapat mereka.

Menurutnya, ini boleh dilihat dalam PRK Tanjung Piai baru-baru ini, yang mana calon parti kerajaan kalah dengan 15,000 undi kerana tidak puas hati terhadap pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Oleh itu, katanya, pemansuhan sistem PRK yang mana kekosongan kerusi diisi secara automatik oleh parti politik penyandang seakan-akan satu tindakan ke arah authoritarian dan dictatorship.

Cadangan ini merupakan satu langkah ke belakang untuk proses demokrasi, katanya.

“Adakah cadangan “knee jerk” ini yang tidak masuk akal ini dibuat susulan kekalahan teruk Pakatan Harapan dalam PRK Tanjung Piai yang lalu?

“Adakah ini satu tidakbalas atau cara Kerajaan Pakatan menghukum rakyat kerana berani memalukan mereka? Adakah cadangan reformasi ini adalah agenda terbuka PH untuk menafikan hak para pengundi dan mengekalkan kedudukan mereka sendiri sebagai kerajaan tanpa segan silu dan malu pada dunia yang mendokong demokrasi?

“DAP sebagai Parti Tindakan Demokratik harus tukar nama kepada Parti Tolak Demokrasi yang menghala kepada memusatkan kuasa ala komunis!,” katanya.

Tambahan lagi, dilaporkan bahawa ERC hanya mencadangkan pemansuhan PRK bagi peringkat kerusi Parlimen, manakala PRK boleh diadakan jika terdapat kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri.

Hasrat semua rakyat, tidak kira latar belakang politik, kaum dan agama, memilih perubahan kerajaan dengan niat untuk melihat negara kita bertambah baik dan memperkasakan sistem demokrasi negara.

Katanya, namun, “reformasi” sistem pilihan raya di bawah kerajaan Pakatan Harapan dilihat semakin membelakangkan segala harapan rakyat.

“Janji melaksanakan semula pilihan raya kerajaan tempatan masih belum ditunaikan, tetapi sekarang pula mereka mahu memansuhkan pilihan raya kecil. Apa lagi yang boleh diharapkan oleh rakyat dalam “reformasi” Pakatan Harapan?,” katanya. – MalaysiaGazette