Najib Razak

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak secara sinis membantah langkah pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) yang akan dilancarkan kerajaan mulai Januari depan.

Najib berkata, rakyat yang memilih Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan yang baharu mahu memansuhkan tol dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi (PTPTN) namun lain pula yang berlaku.

“Rakyat suruh kamu mansuhkan tol dan PTPTN, korang mansuhkan jawatan berpencen, bantuan dan elaun Rakyat pulak!,” katanya di Facebook hari ini.

Beliau yang merujuk kepada Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 10 Tahun 2019 Pengukuhan Pelaksanaan Pemberian Elaun Dalam Perkhidmatan Awam yang memperuntukkan elaun untuk 33 skim perkhidmatan kritikal penjawat awam dimansuhkan.

“Mungkin tidak lagi kritikal untuk kerajaan mengambil pensyarah perubatan, doktor atau jururawat baru berkhidmat di klinik dan hospital awam kot?

“Klinik swasta dibenarkan naik caj berganda tetapi dalam perkhidmatan kritikal awam dimansuhkan pula.

“Saya harap tidak akan berlakunya keadaan di mana klinik dan hospital kerajaan tak cukup doktor atau jururawat dan rakyat terpaksa melawat klinik serta hospital swasta yang telah dinaikkan caj,” katanya lagi.

Bayaran yang dimansuhkan adalah bayaran insentif angkat najis, bayaran insentif menaip Jawi, elaun keraian kepada setiausaha sulit dan setiausaha sulit kanan dan elaun khas penolong pemungut hasil tanah.

Turut dimasukkan bayaran elaun operator generator elektrik, elaun penyelia bilik taip, elau tilikan trigonometric observation, insentig profisensi bahasa Inggeris dan bayaran insentif perkhidmatan kritikal.

Kesemua diatas adalah antara sembilan elaun dimansuhkan kerajaan pada Januari tahun depan. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Mansuh elaun: Penjawat awam bertambah malang