Mohd Khairul Azam Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) tidak pernah mengaku mendapat mandat dari pihak berkuasa untuk tugasan memburu warga asing menerusi penubuhan Skuad Sukarelawan Putra.

Sebaliknya, ujar Naib Presiden penaja parti itu, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, Putra hanya menawarkan sukarelawan untuk membantu operasi pihak berkuasa memburu warga asing.

“Kenyataan dan tujuan kami jelas, iaitu menerusi surat kepada Ketua Pengarah Imigresen Malaysia bertarikh 18 Disember lalu, Putra menyatakan tujuan untuk menawarkan kira-kira 1,000 sukarelawan.

“Mereka ini bersedia membantu operasi Imigresen memburu pendatang asing tanpa izin yang tinggal melebihi masa di negara ini, sebagaimana laporan Ketua Audit Negara 2018.

“Kami agak kecewa dengan kenyataan media Datuk Khairul Dzaimee Daud yang membuat andaian seolah pasukan sukarelawan ini mendapat kuasa atau mandat dari berkuasa untuk memburu warga asing,” katanya dalam kenyataan balas kepada media berhubung kenyataan Ketua Pengarah Imigresen semalam.

Dalam kenyataan itu, Khairul Dzaimee dilaporkan berkata, kuasa untuk memburu dan menangkap pendatang asing tanpa izin di negara ini terhad kepada pegawai Imigresen, polis dan Kastam sahaja.

Sehubungan itu, Ketua Pengarah Imigresen mengingatkan orang ramai dan mana-mana pertubuhan supaya mematuhi undang-undang dan tidak mengambil kuasa sendiri.

Beliau membuat  kenyataan itu susulan penubuhan Skuad Sukarelawan Putra oleh parti Putra yang menawarkan 1,000  sukarelawan kepada pihak Imigresen Malaysia dan polis untuk membantu memburu pendatang haram.

Menurut Mohd Khairul Azam, pihaknya tidak menerima sebarang maklum balas sama ada menentang atau membantah dari Ketua Pengarah Imigresen terhadap surat pertama itu.

Berikutan itu, katanya, Putra terus membuka pendaftaran sukarelawan dan dalam tempoh lima hari pendaftaran dibuka, seramai 1,191 sukarelawan telah mendaftar.

“Kami kemudiannya menulis surat kedua pada 23 Disember 2019 kepada Ketua Pengarah Imigresen untuk menyerahkan senarai nama 1,191 sukarelawan itu dan memohon temujanji untuk berbincang dengan Khairul Dzaimee berkaitan penubuhan Skuad Sukarelawan Putra.

“Namun, tidak ada apa-apa kenyataan bantahan atau penolakan daripada pihak Imigresen berkaitan surat kedua itu sehingga semalam kita mengadakan sidang media bagi memaklumkan secara rasmi penubuhan Skuad Sukarelawan Putra di seluruh negara yang berjumlah 2,012 orang.

“Dalam sidang media itu, saya menyatakan dengan jelas skuad ini belum boleh berfungsi secara rasmi sehingga kami mendapat persetujuan daripada pihak berkuasa untuk bertindak,” katanya.

Katanya, beliau juga secara jelas menyatakan jika tujuan skuad itu ditubuhkan untuk membantu operasi pihak berkuasa tidak dibenarkan, mereka akan berperanan sebagai pemberi maklumat untuk tindakan Imigresen.

Tegasnya, tidak ada langsung kenyataan dari Putra bahawa mereka akan menjalankan operasi sendiri menangkap pelancong asing kerana parti itu tahu tidak ada peruntukan undang-undang membolehkannya bertindak sedemikian.

“Oleh itu, kenyataan media Ketua Pengarah Imigresen yang menyatakan tidak mengiktiraf penubuhan Skuad Sukarelawan Putra ini kerana tidak ada kuasa menangkap adalah kenyataan yang selaras dengan pendirian kami.

“Kami tidak pernah pun hendak melakukan apa-apa tangkapan tanpa autoriti sah daripada pihak berkuasa,” ujarnya.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Aduan dan Undang-Undang Putra bagaimanapun berkata, kenyataan Khairul Dzaimee itu masih selaras dengan hasrat Skuad Sukarelawan Putra untuk menjadi pemberi maklumat kepada pihak Imigresen.

Putra, kata beliau, akan memastikan semua aduan, jika berasas, akan diambil tindakan segera oleh pihak Imigresen. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast