KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan menggesa pucuk pimpinan parti mengambil tindakan tegas kepada Ahli Majlis Tertinggi (MT), Datuk Lokman Noor Adam atas tuduhan jahat dan mengaibkan presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, tindakan memecat keahliannya sebagai ahli dan anggota MT juga wajar dilakukan ke atasnya.
Pemecatan itu, tegas beliau, amat wajar memandangkan ini bukan tuduhan pertama Lokman terhadap presiden, malah hampir semua pimpinan tertinggi UMNO diserang dengan tuduhan bersifat peribadi dan fitnah jijik.
“Tindakan pemecatan ini juga perlu dibuat sebagai pengajaran kepada ahli UMNO yang lain, seterusnya menjaga maruah institusi Presiden UMNO daripada diserang oleh parasit dari dalam parti seperti Lokman,” katanya di sini.
Semalam, dalam laman Facebook, Lokman telah membuat tuduhan jahat yang mengaibkan Ahmad Zahid dengan menuduh Presiden UMNO Itu tunduk kepada Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad dengan niat untuk dilepaskan daripada 87 pertuduhan di mahkamah.
Selain itu, Lokman juga membuat tuduhan serius mendakwa Setiausaha Agung, Tan Sri Annuar Musa telah berbohong dalam isu penafian peletakan jawatan Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO.
“Lokman turut membuat tuduhan berniat jahat kononnya majoriti Ahli MT pro kepada Dr. Mahathir kerana takut dikenakan tindakan siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Kami tidak pernah lupa awal Jun lalu, beliau membuat tuduhan kepada Timbalan Presiden dan Ketua Pemuda UMNO Malaysia kononnya mereka berdua ini mendalangi gerakan untuk menyingkirkan pihak tertentu melalui perlembagaan.
“Ternyata semua tuduhan itu merupakan fitnah yang amat menjijikkan dan sengaja direka untuk memecah belahkan UMNO dari peringkat dalam,” katanya.
















