WASHINGTON/BAGHDAD – Pasukan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) melakukan serangan udara ke atas kumpulan militan Kataib Hezbollah di Iraq dan Syria.

Ia sebagai serangan balas terhadap pembunuhan seorang kontraktor AS yang merupakan orang awam dalam satu serangan roket di pangkalan tentera Iraq, demikian menurut pegawai-pegawai AS.

Sumber-sumber keselamatan dan militan Iraq berkata, sekurang-kurangnya 25 pejuang militan terbunuh manakala sekurang-kurangnya 55 lagi cedera akibat serangan udara pada Ahad itu.

Sekurang-kurangnya empat komander tempatan Kataib Hezbollah antara yang terbunuh dalam serangan berkenaan, kata sumber.

Tambahnya, satu daripada serangan berkenaan mensasarkan ibu pejabat kumpulan militan berkenaan yang terletak di barat daerah Qaim, berhampiran sempadan Syria.

Menurut Pentagon, ia telah mensasarkan tiga lokasi kumpulan militan yang didokongi Muslim Syiah Iran di Iraq dan dua lagi Syria.

Lokasi-lokasi berkenaan termasuk kemudahan simpanan senjata serta lokasi bilik gerakan yang digunakan kumpulan tersebut untuk merancang dan melaksanakan serangan terhadap pasukan bersekutu, katanya.

Menurut seorang pegawai AS yang mahu identiti dirahsiakan, serangan tersebut dilakukan oleh jet-jet pejuang F-15.

AS menuduh Kataib Hezbollah melakukan serangan udara yang melibatkan lebih 30 roket pada Jumaat dan menyebabkan seorang kontraktor orang awam AS terbunuh manakala empat anggota perkhidmatan AS dan dua anggota Iraqi Security Forces tercedera dalam kejadian berhampiran Kirkuk,

“Sebagai membalas serangan berulang-kali yang dilakukan oleh Kataib Hezbollah terhadap pangkalan-pangkalan Iraq yang menempatkan pasukan bersekutu Operation Inherent Resolve (OIR), tentera AS telah melakukan serangan balas terperinci yang akan melemahkan kemampuan KH melancarkan serangan-serangan terhadap pasukan OIR pada masa depan,” kata Ketua Jurucakap Pentagon, Jonanthan Hoffman dalam satu kenyataan. – Agensi