Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar (empat kiri) diiringi Presiden Redbeat Ventures Air Asia Group, Aireen Omar (tengah) bergambar kenangan pada Majlis Pelancaran Kolaborasi Ejen Ali bersama Air Asia dan Ourshop di Lot 10, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 31 DISEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Umum mengetahui bahawa filem animasi Ejen Ali The Movie melakar sejarah apabila meraih kutipan tontotan sebanyak RM28.5 juta sejak mula ditayangkan di seluruh negara, Singapura dan Brunei pada November yang lalu.

Ini membuktikan Ejen Ali sangat mendapat tempat di hati bukan sahaja kanak-kanak malah pelbagai lapisan masyarakat.

Menutup tahun 2019, Ejen Ali mengukuhkan kerjasama dengan  platform e-dagang AirAsia menerusi Ourshop yang  membawa produk tempatan seperti hasil keluaran syarikat animasi itu ke peringkat antarabangsa.

Dengan itu, peminat Ejen Ali di mana jua berada kini berpeluang mengumpul produk-produk tempatan keluaran syarikat tersebut secara online.

Selain itu, Ourshop turut menempatkan produk-produk Ejen Ali di kedai pop-up pertamanya di Bukit Bintang bagi memudahkan peminat filem animasi itu.

Hadir ketika majlis pelancaran, Ketua Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Ohmar berkata, kerjasama ini bertitik tolak daripada kejayaan #MisiAspirasiAirAsia pada 2017 dan 2018 serta kehebatan Filem Ejen Ali The Movie yang masih mengungguli carta filem tempatan.

“Kolaborasi dengan Ourshop ini amat kami hargai kerana ia bertepatan dengan misi kami iaitu membawa jenama Ejen Ali ke peringkat antarabangsa dan seterusnya ke hati peminat Ejen Ali di seluruh dunia,” katanya kepada pemberita.

Antara produk Ejen Ali yang dijual di Ourshop adalah yang mendapat permintaan tinggi iaitu skuter, walkie-talkie juga barang peralatan sekolah bertepatan dengan musim ‘back to school’ pada Januari ini.

Komik edisi terhad Ejen Ali The Movie juga akan mula dijual di kedai pop-up Ourshop pada hari ini sebelum ia mula dipasarkan ke kedai buku seluruh negara.

Dalam pada itu Ketua Pegawai Eksekutif Ourshop, Lalitha Sivanaser menjangkakan kedai pop-up mereka akan terus bertambah dari masa ke semasa.

Ini akan terus memudahkan peminat animasi Ejen Ali mendapatkan koleksi pilihan mereka sama ada terus ke premis atau menerusi online.

“Platform AirAsia kami di Ourshop menjual banyak produk tempatan kerana kami sangat menyokong produk tempatan. Ini juga membuka peluang kepada produk tempatan termasuklah Ejen Ai mengembangkan sayap mereka ke peringkat antarabangsa,”katanya.

Selain itu Ourshop, menurutnya, akan merasmikan perkhidmatan penghantaran ke rumah yang akan melebarkan kaedah jualan sebelum ini yang hanya boleh didapati ketika pelanggan berada dalam pesawat Air Asia sahaja.

“Suku tahun 2020 anda akan menyaksikan Ourshop melancarkan our perkhidmatan penghantaran je rumah selain memberi kemudahan wifi service in flight, jadi pelanggan yang di rumah pun nanti akan dapat membeli barangan dari Ourshop,” tambahnya. -MalaysiaGazette