KIMANIS – Pemilihan Ketua UMNO Bahagian Kimanis sebagai calon BN untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan berkenaan adalah berdasarkan kriteria yang ditetapkan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pemilihan Datuk Mohamad Alamin dilihat ada kekuatan mewakili rakyat di kawasan berkenaan.

Selain itu, Mohamad Alamin yang sebelum ini pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan.

“Setelah membuat empat pusingan dan membuat survey mencari calon yang sesuai dan boleh menepati kriteria-kriteria yang telah kami tetapkan, Mohamad Alimin dipilih sebagai calon BN.

“Selaku anak tempatan dan pernah dipilih menjadi wakil rakyat di Dewan Undangan Degeri (DUN) Bongawan pada PRU-13 lalu, beliau bukan asing untuk masyarakat di Kimanis dan kami merasakan faktor itu penting bagi memastikan penerimaan positif pengundi terhadap calon kami di Kimanis.

“Malah kami penuh yakin keupayaan calon untuk berkolaborasi secara aktif dengan semua jentera BN termasuk komponen parti pada PRK ini,” katanya pada sidang media pengumuman calon BN di Bilik Gerakan BN PRK Parlimen Kimanis seperti laporan UMNO Online hari ini.

Katanya, kemenangan BN dalam PRK ini akan memberikan impak politik yang besar khususnya kepada kebangkitan semula UMNO di Sabah.

“Pengundi di Kimanis perlu menjadikan PRK ini sebagai referendum bagi mengekang kerajaan PH dan Warisan yang telah gagal mentadbir negara dan hanya menumpu perkara remeh berbanding membela untung nasib rakyat.

“Ini masanya untuk kita semua perlu buktikan bahawa mufakat nasional adalah bersifat multi-racial dan tidak mengenepikan agama serta kaum lain. Titik permulaan muafakat nasional di sabah akan bermula di parlimen Kimanis,” ujarnya.

Ujar beliau lagi pelbagai strategi yang diatur nanti perlu bijak kerana BN adalah sebuah parti pembangkang jika disbanding dengan jentera PH yang dibantu oleh kerajaan negeri yang besar memandangkan negeri ini dikuasai Parti Warisan yang menyokong PH kerajaan persekutuan

“Saya doakan sambutan tahun 2020 ini bermakna dengan kemenangan BN di Kimanis. Kesinambungan kemenangan di Kimanis merupakan tradisi membela rakyat. Kita bermula di Kimanis untuk menentukan masa depan hala tuju rakyat Sabah,” tambahnya.

Pada masa yang beliau mengucapkan terima kasih atas autonomi yang diberikan oleh pucuk pimpinan yang julung-julung kalinya diberikan kepada UMNO negeri berkenaan.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Mohamad Alamin calon BN pada PRK Kimanis