BAGHDAD – Tantera Amerika Syarikat (AS) melepaskan gas pemedih mata untuk meleraikan penunjuk perasaan pro-Iran yang berkumpul di luar perkarangan kedutaan negara itu di Baghdad yang kini masuk hari kedua.

Bepuluh-puluh militan pro-Iran dan penyokong mereka berkampung di pintu masuk kedutaan itu di Baghdad di mana mereka bermalam, sehari selepas memasuki kawasan kedutaan tersebut, merosakkan kawasan penerimaan tetamu dan memecahkan tingkap yang disifatkan sebagai salah satu serangan terburuk ke atas kedutaan, lapor AP.

Pasukan Marin AS yang berkawal di kedutaan itu melepaskan gas pemedih mata apabila lebih ramai orang tiba dan selepas penunjuk perasaan membakar atap kawasan penerimaan tetamu.

Presiden Donald Trump menyalahkan Iran terhadap serangan itu dan Setiausaha Pertahanan, Mark Esper kemudian mengumumkan kerahan tentera seramai 750 orang dari Divissyen Tentera Udara ke-82 di Fort Bragg, Carolina Utara ke Timur Tengah.

Beliau tidak menyatakan secara terperinci destinasi mereka, namun seorang pegawai AS berkata, mereka akan ke Kuwait. – Agensi