Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia memulakan dagangan pada tahun baharu dalam kedudukan positif, susulan kemunculan belian semasa harga rendah di kaunter yang mengalami penurunan menjelang tahun baharu.

Pada 9.08 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.64 mata kepada 1,593.40 berbanding 1,588.76 pada penutupan Selasa, selepas dibuka pada 1,590.98.

Pasaran ditutup pada Selasa sempena Tahun Baharu 2020.

Pada pembukaan, kedudukan pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 191 berbanding 89, manakala 215 kaunter tidak berubah, 1,450 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 136.31 juta saham bernilai RM66.94 juta.

Peniaga berkata pasaran tempatan juga menjejaki prestasi kukuh pasaran Amerika Syarikat menjelang tahun baharu, dengan kesemua tiga penanda aras utamanya ditutup 0.3 peratus lebih tinggi pada 31 Dis.

“Peserta pasaran juga bertindak positif terhadap tweet Presiden Donald Trump bahawa perjanjian fasa satu perdagangan dengan China akan ditandatangani pada 15 Jan, 2020,” katanya.

Dari sudut teknikal, Maybank Investment Bank Bhd menjangkakan FBM KLCI akan bergerak antara 1,580 dan 1,610, hari ini.

“Sokongan menurun adalah pada 1,585 dan 1,572,” katanya dalam nota kajiannya.

Bagi saham wajaran tinggi, Public Bank meningkat 14 sen kepada RM19.58, CIMB dan Maxis masing-masing susut lima sen kepada RM5.20 dan RM5.37, IOI Corporation menambah enam sen kepada RM4.67 manakala Petronas Gas menokok 18 sen pada RM16.80.

Bagi kaunter paling cergas, Bright Packaging meningkat 10.5 sen kepada 49 sen, TDM dan Avillion masing-masing naik 1.5 sen kepada 43.5 sen dan 15.5 sen manakala JCY International menambah satu sen kepada 32.5 sen.

Bagi kaunter paling untung, KLK meningkat 24 sen kepada RM25.04 manakala Carlsberg merupakan kaunter paling rugi apabila sahamnya merosot 22 sen kepada RM29.00.

Indeks FBM Emas meningkat 30.30 mata kepada 11,353.79 manakala Indeks FBM Emas Syariah meningkat 27.99 mata kepada 11,975.91.

Indeks FBMT 100 meningkat 29.07 mata kepada 11,143.62, FBM 70 mengukuh 23.20 mata kepada 14,230.01, namun FBM Ace susut 4.67 mata kepada 5,221.92.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.39 mata kepada 153.79, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 45.90 mata kepada 15,510.07 manakala Indeks Perladangan menokok 59.06 mata kepada 7,792.43. – MalaysiaGazette