Antonio Guterres . foto Agensi

WASHINGTON – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres “sangat bimbang” terhadap Korea Utara yang telah menunjukkan mahu meneruskan ujian nuklear dan peluru berpandu.

“Setiausaha Agung sangat berharap ujian tersebut tidak akan disambung semula, sejajar dengan resolusi Majlis Keselamatan.

“Perjanjian menangani penggunaan senjata nuklear tetap menjadi tunjang asas keselamatan nuklear global dan ia mesti dipertahankan.

“Penglibatan diplomatik adalah satu-satunya jalan untuk perdamaian yang mampan,” kata jurucakap PBB, Stephane Dujarric dalam satu kenyataan.

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, dalam satu kenyataan pada minggu ini berkata, tidak ada lagi alasan bagi Pyongyang untuk terikat dengan moratorium yang diisytiharkan bagi ujian peluru berpandu balistik antara benua dan ujian bom nuklear.

Bahkan, beliau berkata, Pyongyang memiliki ‘senjata strategik baru’ yang akan diperkenalkan dalam masa terdekat.

Donald Trump adalah Presiden Amerika Syarikat pertama yang bertemu dengan Kim pada tahun lalu dalam usaha untuk menangani penggunaan peluru berpandu dan senjata nuklear di Semenanjung Korea.

Trump berulang kali menyatakan moratorium telah dikuatkuasakan sejak tahun 2017, selepas beliau menandatangani polisi untuk saling hubung dengan Korea Utara.

Kim pula melahirkan rasa tidak puas hati selepas Amerika Syarikat meneruskan latihan ketenteraan bersama dengan Korea Selatan, menggunakan senjata canggih dan Pyongyang masih dikenakan sekatan.

Bulan lalu, Pyongyang memberi amaran kepada Washington tentang “hadiah Krismas”selepas Kim memberi tempoh kepada Amerika Syarikat sehingga akhir tahun untuk mencadangkan konsesi baru dalam perbincangan mengenai senjata nuklear negara itu.

Pakar-pakar Korea Utara pula mengatakan ucapan Kim mungkin ditujukan kepada parti, tentera dan pegawai kerajaannya di negara itu bagi mempersiapkan negara untuk satu lagi masa kesulitan ekonomi kerana ia bersiap sedia untuk berdepan dengan Amerika Syarikat.

“Perkara utama, hampir pasti, bukan berita utama tentang pembangunan senjata atau kemungkinan pengujian semula,” kata Robert Carlin.

“Ia bermakna menyediakan ekonomi dan rakyat dengan konfrontasi jangka panjang dengan Amerika Syarikat, kata pakar Korea Utara di Pusat Pemikir Stimson di Washington. – MalaysiaGazette