Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

PUTRAJAYA – Siasatan dalaman oleh badan kehakiman berhubung akuan afidavit Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer yang mengandungi dakwaan campur tangan badan kehakiman, digantung kerana siasatan polis, kata Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat.

Bagaimanapun Tengku Maimun berkata, beliau tidak tahu perkembangan siasatan polis dan sama ada mereka telah mengemukakan laporan atau kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

“Ia (siasatan dalaman) digantung kerana polis jalankan siasatan. Pihak polis datang dan menemu bual kami (hakim).

“Keputusan yang diambil pihak pengurusan atasan semasa itu (semasa tempoh perkhidmatan bekas Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum) adalah untuk menangguhkan dulu siasatan dalaman kerana polis sedang menjalankan siasatan,” katanya kepada media apabila ditanya berhubung siasatan dalaman oleh badan itu.

Ketua Hakim Negara berkata demikian semasa sesi bertemu media di pejabatnya di Istana Kehakiman di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Tengku Maimun berkata, anak mendiang Karpal Singh, Sangeet Kaur Deo telah menulis kepadanya berhubung perkara itu.

“Saya beritahu beliau saya tidak boleh jalankan siasatan atau teruskan siasatan yang dimulakan Tan Sri Richard Malanjum kerana konflik kepentingan memandangkan saya seorang daripada tiga hakim dalam panel yang mendengar kes rayuan hasutan Karpal (di Mahkamah Rayuan).

“Saya sendiri beritahu Sangeet bahawa aduan itu berkaitan dengan kes bapanya, jadi saya tidak boleh terlibat dalam siasatan berkaitan perkara itu, dia faham,” kata Tengku Maimun.

Pada 12 Julai 2019 Sangeet memberitahu, media beliau membuat permohonan rasmi kepada Tengku Maimun, yang menggantikan Malanjum sebagai ketua hakim negara yang baharu, untuk menyiasat semula perkara itu.

Pada 22 Okt 2019 Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman pemula yang difailkan Sangeet berhubung dakwaan campur tangan badan kehakiman dalam keputusan kes hasutan bapanya. – Bernama